KUALA LUMPUR 25 Mei - Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menawarkan kepakaran teknikal di dalam membantu Jawatankuasa Siasatan ke atas kemalangan dua tren LRT yang menyaksikan lebih 200 penumpang cedera.
Pengerusi NIOSH, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha semua pihak berkepentingan agar keselamatan dan kesihatan pekerja dan orang awam diutamakan.
Menurut beliau, NIOSH yakin kemalangan seperti ini boleh dijangka dan langkah-langkah pencegahan perlu sentiasa diutamakan.
"NIOSH bersetuju dan menyokong sepenuhnya tindakan pantas Kementerian Pengangkutan untuk menubuhkan panel pasukan petugas khas bagi menyiasat punca kemalangan ini.
"Pihak NIOSH bersedia untuk menawarkan kepakaran teknikal di dalam membantu pasukan petugas khas ini nanti," katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam kejadiaan kira-kira pukul 8.45 malam tadi (24 Mei 2021), tren yang membawa 213 penumpang bertembung dengan sebuah tren lain yang dinaiki seorang pemandu dan seorang operator. Setakat pukul 10 malam tadi, disahkan seramai 47 orang mengalami kecederaan serius manakala yang lain hanya cedera ringan.
Wilson berkata, NIOSH juga ingin memberikan peringatan kepada semua perkhidmatan pengangkutan awam sama ada tren, kereta atau bas agar sentiasa mengamalkan budaya kerja selamat, sediakan prosedur kerja berdasarkan pencegahan kemalangan dengan menaksir hazard, menilai risiko dan kawalan risiko.
"Ini termasuk memastikan setiap pekerja atau personel yang dipertanggungjawabkan dalam keadaan sihat atau fit semasa bekerja," kata beliau. - DagangNews.com