Northeast bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Northeast bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - Northeast Group Bhd telah memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia untuk mengumpul dana bagi mengembangkan perniagaannya, termasuk kilang baharu bernilai RM50.4 juta.

 

IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 168.99 juta saham baharu dan tawaran jualan 51.8 juta saham sedia ada, menurut pendedahan prospektus pengeluar komponen ketepatan itu kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Secara keseluruhan, penyenaraian syarikat berpangkalan di Pulau Pinang itu akan menawarkan pelabur sehingga 30% kepentingan dalam syarikat itu.

 

Daripada jumlah saham baharu itu, Northeast memperuntukkan 37 juta saham kepada orang ramai Malaysia, 29.6 juta saham bagi orang berkelayakan dan 102.38 juta saham untuk pelabur dan Bumiputera terpilih menerusi penempatan persendirian. 

 

Sementara itu, tawaran jualan juga akan dilakukan melalui penempatan persendirian untuk pelabur Bumiputera.

 

Northeast terlibat dalam pengeluaran komponen kejuruteraan ketepatan yang digunakan dalam industri fotonik, elektrik dan elektronik, semikonduktor, telekomunikasi dan optoelektronik untuk pelanggan tempatan dan asing termasuk dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Thailand, Singapura, Kanada dan Jerman.

 

Hasil daripada penjualan saham baharu akan digunakan untuk membiayai pembinaan kilang keempat di Pulau Pinang dengan ruang lantai pengeluaran 79,020 kaki persegi. 

 

Ia juga merancang untuk membeli mesin kawalan berangka komputer (CNC) baharu, yang akan meningkatkan kapasiti operasinya sebanyak 8.5% hingga 25%.

 

Northsea juga telah memperuntukkan sebahagian daripada hasil untuk modal kerja, membayar balik pinjaman bank dan membiayai anggaran perbelanjaan penyenaraian.

 

Sementara itu, sebarang wang yang diperoleh daripada tawaran jualan akan terakru sepenuhnya kepada penjualan pemegang saham termasuk Pengarah Urusan, Ng Chay Chin dan Pengarah Operasi Kanan, Ng Chai Hee.

 

Affin Hwang Investment Bank ialah penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal untuk IPO tersebut. - DagangNews.com