Northport catat rekod kendalian kontena bulanan tertinggi pada Ogos 2024 sebanyak 365,558 TEU | DagangNews Skip to main content

Northport catat rekod kendalian kontena bulanan tertinggi pada Ogos 2024 sebanyak 365,558 TEU

Dari Januari hingga Ogos 2024, Northport menerima sejumlah 171 singgahan kapal ad-hoc dan merekodkan sejumlah 13 perkhidmatan perkapalan baharu di pelabuhannya.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Sept - Northport (Malaysia) Bhd mencatatkan kendalian kontena bulanan tertinggi syarikat iaitu sejumlah 365,558 TEU (unit bersamaan dua puluh) pada Ogos 2024. 

 

Syarikat itu juga memecahkan rekod bulanan kargo konvensionalnya dengan pengendalian 1,145,021 FWT (Freight Weight Tonnes), mengatasi rekod sebelumnya iaitu 1,143,318 FWT yang dicatatkan pada Julai 2024. 

 

Menurut kenyataan hari ini, Northport berkata, pencapaian pada bulan Ogos itu merupakan rekod prestasi baharu bulanan untuk dua bulan berturut-turut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, pencapaian itu didiorong oleh peningkatan infrastruktur dan perkhidmatan syarikat secara berterusan untuk mengukuhkan peranan Northport sebagai pintu masuk perkapalan global. 

 

Selain daripada peningkatan infrastruktur, prestasi pecah rekod itu didirong oleh peningkatan ketara dalam kesinggahan kapal ad-hoc. 

 

hhh
Pada Ogos 2024, Northport mengendalikan sejumlah 1,145,021 FWT kargo konvensional, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 1,143,318 FWT yang dicatatkan pada Julai 2024

 

Northport juga berkata, laluan perkhidmatan baharunya telah meluaskan rangkaian pelabuhan itu dan membolehkan kendalian kontena yang lebih kerap. 

 

"Peningkatan dalam pengendalian kontena ini juga didorong oleh lapangan kontena baharu, Blok K yang telah beroperasi secara separa yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan September 2024.


  
"Lapangan itu berjaya menyumbang kepada kendalian kontena yang lebih tinggi pada bulan Ogos," ujar Northport. 

 

Datuk Azman Shah mengulas, faktor utama yang mendorong prestasi baharu syarikat adalah komitmen jitu kakitangan dalam mengejar kecemerlangan tanpa henti. 

 

"Pencapaian terbaharu ini telah meletakkan Northport pada trajektori yang kukuh untuk berpotensi mengatasi rekod pengendalian kontena dan pengendalian kargo konvensional tahunan tertinggi menjelang akhir tahun ini.

 

"Kami berharap prestasi rekod ini akan membantu usaha kami dalam memastikan kedudukan Pelabuhan Klang sebagai antara 10 pelabuhan paling sibuk di dunia pada tahun 2024," kata beliau. 

 

Beliau juga menekankan tumpuan syarikat dalam pertumbuhan yang mampan dan menetapkan penanda aras baharu dalam kecekapan operasi dan kecemerlangan perkhidmatan.

 

"Pelaburan strategik kami dalam infrastruktur dan teknologi memastikan kami melebihi jangkaan pelanggan, rakan kongsi dan pihak berkepentingan kami serta  meletakkan Northport sebagai pelabuhan gerbang pilihan Malaysia," ujar Datuk Azman.- DagangNews.com