Nova MSC lancar aplikasi mudah alih VESALIUS.m di Island Hospital bagi tingkatkan kualiti perkhidmatan | DagangNews Skip to main content

Nova MSC lancar aplikasi mudah alih VESALIUS.m di Island Hospital bagi tingkatkan kualiti perkhidmatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Feb - Nova MSC Berhad melancarkan aplikasi mudah alih VESALIUS.m di Island Hospital, Pulau Pinang sebagai usaha tingkatkan kualiti perkhidmatan di hospital tersebut.

 

Kumpulan itu berkata, aplikasi yang dilancarkan itu antara lain bertujuan ​kepuasan pesakit yang menerima rawatan di hospital itu.

 

Katanya, aplikasi itu menyediakan platform mesra pengguna untuk pesakit mengakses maklumat perubatan penting seperti pengurusan janji temu dan akses kepada program seperti Little Explorers Kids Club untuk golongan muda dan Golden Pearl Club untuk warga emas.

 

Pengarah Eksekutif Nova MSC, Nazeroll Kasim berkata, pihaknya membangunkan aplikasi mudah alih itu bagi menyediakan maklumat seperti direktori doktor, sejarah lawatan dan bil pesakit, janji temu akan datang dan tempahan janji temu.

 

Selain pengukuhan jenama, beliau berkata, Island Hospital pasti akan menerima manfaat besar terutama dari segi penglibatan pesakit daripada aplikasi itu. 

 

nova

 

"Antara ciri aplikasi yang disediakan termasuk sistem tempahan yang membolehkan pesakit menetapkan semula jadual temu janji dengan mudah selain mengakses butiran temu janji dan lokasi klinik.

 

"Ciri yang menonjol ialah penjejak giliran masa nyata yang membolehkan pesakit memantau status giliran secara maya selain tawaran pakej promosi pemeriksaan kesihatan ditambah dengan tempahan temujanji segera," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Kakitangan Island Hospital, Lim Kooi Ling berkata, aplikasi mudah alih VESALIUS.m nyatakan memudahkan urusan harian sejajar dengan komitmen hospital untuk memberikan penjagaan kesihatan terbaik kepada pesakit.

 

Memandang ke hadapan, Island Hospital merancang untuk memasukkan ciri tambahan ke dalam aplikasi seperti pengaturan logistik dan e-pembayaran untuk pesakit seterusnya mengubah cara hospital menyampaikan perkhidmatan berkualiti. - DagangNews.com