Nova MSC raih kontrak bernilai RM35.4 juta daripada Sys-Mac bagi projek berkaitan automasi di Singapura | DagangNews Skip to main content

Nova MSC raih kontrak bernilai RM35.4 juta daripada Sys-Mac bagi projek berkaitan automasi di Singapura

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jan - Nova MSC Berhad menerusi novaCITYNETS Pte. Ltd. menerima kontrak bernilai RM35.4 juta daripada Sys-Mac Automation Engineering Pte. Ltd. bagi projek berkaitan automasi di Singapura.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, menerusi kontrak itu, mereka akan bertanggungjawab untuk membekal, menghantar, memasang, menguji dan mentauliah sistem pentadbiran automatik, pelabelan dan pemprosesan sampel yang beroperasi sepenuhnya dalam tempoh 32 bulan.

 

Ia kemudiannya diikuti dengan kontrak penyelenggaraan empat tahun selepas tempoh jaminan 12 bulan. Bahagian awal kontrak bernilai kira-kira RM20.8 juta. 

 

Katanya, Sys-Mac mempunyai pilihan untuk membeli item dan perkhidmatan pilihan selanjutnya, bersama-sama dengan kemungkinan melanjutkan kontrak penyelenggaraan tambahan selama lima tahun bernilai RM14.6 juta.

 

Pengarah Urusan Nova MSC, Nazeroll Kasim berkata, kontrak itu bukan sahaja menunjukkan kehebatan teknologi kumpulan tetapi juga keupayaan dalam menyampaikan rumusan automasi yang kompleks pada skala besar.

 

Beliau berkata, pasukan pengurusan yakin bahawa kontrak itu tidak akan menimbulkan sebarang risiko melebihi risiko operasi dan pelaksanaan biasa yang berkaitan dengan projek tersebut.

 

"Ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak, tanpa menjejaskan modal saham dan struktur pegangan saham kumpulan.

"Kerjasama dengan Sys-Mac ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan pasaran kami tetapi juga membuka peluang yang luas untuk pengembangan dan inovasi masa depan.

 

"Ia juga merupakan adalah batu loncatan ke arah matlamat strategik kami untuk menjadi peneraju global dalam ruang rumusan teknologi.” katanya. - DagangNews.com