NPC Resources lupus 13 tanah kelapa sawit bernilai RM165.1 juta di Sabah bagi perbaiki aliran tunai | DagangNews Skip to main content

NPC Resources lupus 13 tanah kelapa sawit bernilai RM165.1 juta di Sabah bagi perbaiki aliran tunai

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mac - NPC Resources Bhd menerusi tiga anak syarikatnya memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Sungei Mangis Plantation Sdn Bhd bagi melupuskan 13 lot tanah pertanian kelapa sawit seluas 3,038 hektar bernilai RM165.1 juta di Sabah bagi memperbaiki aliran tunai kumpulan.

 

Kumpulan itu berkata, menerusi perjanjian pertama, Berkat Setia Sdn Bhd akan menjual sejumlah enam lot tanah seluas 102 hektar bernilai RM5.52 juta yang terletak di Labuk dan Sugut kepada Sungei Manggis Plantation.

 

Katanya, bagi perjanjian kedua, Bonus Indah Sdn Bhd akan melepaskan tiga lot tanah dengan keluasan 2,005 hektar bernilai RM108.98 juta manakala Kian Merculaba Sdn Bhd akan melepaskan empat lot tanah berkeluasan 931 hektar bernilai RM50.59 juta kepada pembeli sama.
 

Tanah itu dijual kepada pembeli atas dasar 'seadanya' dan bebas daripada sebarang bebanan serta sekatan lain.

 

"Hartanah tersebut kini digunakan untuk penanaman tanaman kelapa sawit.

 

"Ia menyumbang 38% daripada kerugian bersih NPC sebelum cukai dan 4% daripada jumlah hasil kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

 

"Memandangkan hasil prestasi masa lalu hartanah tersebut, hartanah tersebut merupakan penyumbang paling rendah prestasi kepada kumpulan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, selepas siap pelupusan itu, NPC masih memiliki kira-kira 7,738 hektar tanah ladang di Sabah, kira-kira 45,064 hektar di Indonesia dan dua kilang kelapa sawit.

 

Katanya, cadangan itu membolehkan kumpulan mempercepatkan program penanamannya untuk membangunkan baki tanah ladang yang belum ditanam di Indonesia dan program penanaman semula di Sabah.

 

"Apabila matang, lembaga pengarah menjangkakan tanah ladang itu akan menyumbang dengan ketara ke arah prestasi kewangan kumpulan dan cadangan pelupusan itu akan memperbaiki kedudukan aliran tunai kumpulan," katanya. - DagangNews.com