NUBE gesa PM, Ahli Parlimen campur tangan tangani pertikaian bantuan perayaan kepada pekerja B40 | DagangNews Skip to main content

NUBE gesa PM, Ahli Parlimen campur tangan tangani pertikaian bantuan perayaan kepada pekerja B40

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mac - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli-ahli Parlimen campur tangan menyelesaikan pertikaian berkaitan bayaran bantuan perayaan kepada pekerja-pekerja sektor perbankan.

 

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, pihaknya menggesa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Khazanah Nasional, Permodalan Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja supaya menasihati bank-bank di bawah bidang kuasa mereka supaya menghentikan penindasan mereka terhadap golongan pekerja.

 

"Kami berharap Perdana Menteri dan ahli-ahli Parlimen akan campur tangan untuk menyelesaikan masalah dihadapi pekerja B40 dan M40 ini," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Pada Januari lepas, media melaporkan, NUBE menggesa Perdana Menteri supaya membubarkan kartel bank apabila dilihat menindas pekerja bank kumpulan B40 dan M40.

 

Solomon berkata, bank syarikat berkaitan kerajaan (GLC) enggan memberikan gaji pokok sebulan sebagai bantuan perayaan kepada kumpulan berpendapatan rendah seiring dengan objektif kerajaan.

 

Katanya, keengganan bank-bank berkenaan jelas menggambarkan kedegilan mereka.

 

Solomon berkata, satu mesyuarat perdamaian antara NUBE dan pihak bank, diketuai oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP), baru-baru ini tidak membawa sebarang rumusan.

 

 

NUBE
J Solomon

 

 

"Ketika mesyuarat perdamaian pada 21 Mac itu, pegawai JPPP termasuk Pengarah (JPP Cawangan) Wilayah Persekutuan secara dasarnya sekadar bertindak sebagai 'posmen'.

 

“Walaupun NUBE berusaha membetulkan maklumat yang mengelirukan itu dengan bukti fakta, pegawai JPP terbabit mengakhirinya dengan menyatakan mereka akan menghimpunkan maklumat berkenaan dan merujuk ke Putrajaya kerana pihak bank tetap berdegil," katanya.

 

Katanya, keuntungan besar Maybank sebanyak RM9.35 bilion pada 2023, peningkatan 17.5% berbanding RM8.24 bilion pada tahun sebelumnya, serta keuntungan diraih Public Bank sebanyak RM6.65 bilion menggariskan keupayaan kewangan pihak bank untuk memberi gaji sebulan sebagai bantuan perayaan kepada pekerja B40 dan M40, seperti mana dilakukan pada tahun lalu.

 

“Lebih penting lagi, bank GLC seperti Maybank dan CIMB, yang beroperasi di Indonesia, secara konsisten memberikan gaji sebulan sebagai bantuan perayaan kepada semua pekerja termasuk di peringkat ketua pegawai eksekutif di negara berkenaan," katanya.

 

Tambahnya, salah satu prinsip asas Program Transformasi GLC adalah menguruskan kemaslahatan pihak berkepentingan, khususnya pekerja seiring agenda kerajaan tanpa menindas pekerja.

 

"Memandangkan 75% ahli beragama Islam dan Ramadan semakin melabuhkan tirai, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang diselubungi kesedihan. Dasar tidak adil pihak bank kaya dan berkuasa menafikan hak perayaan pekerja selepas sebulan berpuasa," katanya. - DagangNews.com