KUALA LUMPUR 23 Feb – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank(NUBE) merayu kepada Bank Negara Malaysia supaya campur tangan memastikan Citibank membayar pampasan pemberhentian atau bayaran penghargaan daripada hasil jualan.
Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, Citibank telah beroperasi di Malaysia selama 63 tahun, memutuskan untuk menjual perniagaan Perbankan Penggunanya untuk pulangan tunai yang besar.
Menurutnya, ia menyebabkan pekerja-pekerja Malaysia ditamatkan perkhidmatan di Citibank tanpa sebarang pampasan pemberhentian atau bayaran penghargaan daripada hasil jualan.
Katanya, semua perniagaan mempunyai kewajipan moral dan etika dan mereka harus menghormati hak asasi manusia kerana mereka tidak sepatutnya melanggar hak asasi manusia pekerja-pekerja mereka.
Di Korea Selatan kata beliau, dalam keadaan yang sama, bank pusat campur tangan dan Citibank membayar tujuh tahun gaji sebagai pampasan untuk penamatan pekerjaan setiap pekerja yang terjejas.
“Atas sebab itu, NUBE merayu supaya Bank Negara bertindak ke atas Citibank. (Tetapi) rayuan seperti itu tidak diendahkan kerana BNM jelas tidak berminat untuk melihat kepentingan golongan pekerja bergaji paling rendah di negara ini.
“BNM bertindak sebagai pembantu kelas perniagaan, dan bukan sahaja perniagaan besar tempatan tetapi juga perniagaan asing.
“Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim harus campur tangan untuk membuat perubahan yang perlu dalam BNM atas semangat ketelusan dan tadbir urus yang baik, yang dijanjikan oleh kerajaan baharu,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
Solomon berkata, Bank Negara telah gagal dengan ketara dalam mengutamakan kepentingan ekonomi Malaysia dan rakyat Malaysia.
Beliau mendakwa Bank Negara telah menyerahkan jiwanya kepada kepentingan perniagaan besar dan khususnya pelabur asing.
Katanya, pelabur asing yang dirujuk bukanlah perniagaan yang melabur untuk tujuan mengaut keuntungan dan juga untuk melabur demi kesejahteraan Malaysia, yang akan menjadi satu bentuk pelaburan yang dialu-alukan.
“Jenis pelabur asing yang BNM bersekongkol adalah pelabur spekulatif yang ingin mengeksploitasi sumber Malaysia, termasuk pekerja Malaysia,” kata Solomon lagi. – DagangNews.com