NuEnergy terima kelulusan tempoh tambahan sehingga 17 September 2025 bagi penerokaan PSC Muara Enim | DagangNews Skip to main content

NuEnergy terima kelulusan tempoh tambahan sehingga 17 September 2025 bagi penerokaan PSC Muara Enim

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mac - NuEnergy Gas Limited menerusi, PT Trisula CBM Energi Pte Ltd (Trisula) menerima kelulusan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Republik Indonesia (MEMR) melalui Pasukan Petugas Khas Indonesia bagi Kegiatan Perniagaan Hulu Minyak & Gas (SKK Migas) bagi tambahan tempoh penerokaan sehingga 17 September 2025 untuk Kontrak Perkongsian Pengeluaran(PSC) Muara Enim.

 

Lanjutan masa itu membolehkan NuEnergy yang merupakan anak syarikat kepada Globaltec Formation Bhd untuk menjalankan aktiviti bagi menentukan produktiviti gas PSC dan mengemukakan pelan pembangunan (POD).

 

Di samping itu, Trisula telah mengemukakan permohonan kepada SKK Migas untuk penukaran PSC kepada PSC berasaskan agihan kasar berikutan jangkaan peningkatan dalam pembahagian hasil kasar kontraktor kepada 95% yang diserahkan oleh MEMR.
 

"Setelah menerima kelulusan POD, Trisula kemudiannya akan berada dalam kedudukan untuk meneruskan pembangunan lapangan, pembinaan kemudahan permukaan dan pengeluaran komersial bagi pengewangan gas di PSC Muara Enim," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Trisula memegang 40% kepentingan kerja dalam PSC Muara Enim, meliputi kawasan seluas 587 kilometer persegi di Sumatera Selatan, Indonesia yang terletak di sekitar saluran paip gas utama.

 

Kumpulan itu telah menjalankan kajian geologi dan geofizik, menggerudi tiga telaga penerokaan dan melakukan pembuangan air di kawasan PSC Muara Enim.

 

PSC Muara Enim terletak berhampiran dengan baki tiga aset PSC NuEnergy, yang mana PSC Tanjung Enim adalah yang paling maju dan sedang dalam persiapan akhir untuk pengeluaran gas awal.

 

Ini memberi petanda baik untuk penyepaduan dan pembangunan yang berkesan bagi semua PSC NuEnergy sebagai hab metana dasar arang batu untuk membekalkan tenaga bersih yang mampan kepada pasaran tempatan dan negara. - DagangNews.com