NUJ lancar dana memahirkan semula wartawan yang hilang kerja | DagangNews Skip to main content

NUJ lancar dana memahirkan semula wartawan yang hilang kerja

(Dari kiri) Setiausaha Agung NUJ Chin Sung Chew, Pengurus Besar Pop Meals Shaik Ali Fikri Bajunid dan Presiden NUJ Farah Marshita Abdul Patah pada pelancaran tabung itu.
 


SHAH ALAM 7 April - Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) melancarkan dana untuk membantu wartawan yang dibuang kerja meningkatkan kemahiran digital dalam usaha menambah peluang pekerjaan baharu untuk mereka.

 

NUJ Re-Skilling Fund akan digunakan untuk mengadakan beberapa siri bengkel dengan rakan kerja terpilih bagi membantu mereka yang dibuang kerja akibat langkah pemotongan kos, skim pemisahan sukarela atau selepas organisasi mereka ditutup.

 

Setiausaha Agung kesatuan itu, Chin Sung Chew berkata kira-kira 400 wartawan kehilangan kerja dalam tempoh dua tahun lalu.

 

“Kami merancang mengumpulkan sekurang-kurangnya RM100,000 untuk digunakan bagi bengkel pemahiran semula supaya wartawan yang lebih berusia dan berpengalaman boleh mempelajari kemahiran sewajarnya untuk mendapat kerja dalam landskap media digital,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Chin turut menggesa sesiapa yang prihatin dengan kerjaya kewartawanan untuk menyumbang kepada tabung itu supaya dapat membantu lebih ramai wartawan.

 

Terdahulu hari ini, jenama makanan segera Pop Meals menjanjikan sumbangan RM5,000 dan 1,000 baucar tunai bernilai RM10.

 

Sumbangan kepada tabung NUJ itu boleh dilakukan menerusi pemindahan ke akaun Public Bank Bhd National Union of Journalists Malaya bernombor 3077428903 dengan makluman `untuk NUJ Re-Skilling Fund'.

 

Keahlian NUJ kebanyakannya merangkumi wartawan dari akhbar arusan perdana. - DagangNews.com