Offspring intai pasaran baharu bernilai RM55 juta di Vietnam | DagangNews Skip to main content

Offspring intai pasaran baharu bernilai RM55 juta di Vietnam

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd. Noor 

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Nov - Sedania Innovator Berhad (Sedania) menerusi anak syarikatnya, Offspring Inc Sdn. Bhd. (Offspring Inc) mengintai sebahagian daripada pasaran bernilai RM55 juta di Vietnam apabila ia menjadi negara baharu untuk mereka memasarkan produk keluaran syarikat itu.

 

Vietnam mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang pantas berbanding China serta Taiwan pada tahun lalu dan negara itu berjaya mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.6%.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd. Noor berkata, perancangan mereka untuk mengembangkan pasaran di rantau Asia Pasifik adalah bersasar dengan ia akan menjadi penyumbang utama kepada objektif kewangan dan operasi kumpulan secara menyeluruh.

 

“Vietnam adalah di antara tiga negara tertinggi dari segi potensi bahagian pasaran di antara negara Asia, kami menjangkakan Vietnam akan menjadi salah sebuah negara yang akan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan Offspring. 

 

"Kami sangat teruja untuk memasarkan rangkaian barangan Offspring yang berkualiti tinggi bebas bebas bahan kimia dengan aspirasi untuk menjadikan Vietnam sebagai pusat pengedaran di Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan.

 

Offspring yang memasarkan produk penjagaan awal kanak-kanak yang dibuat dari bahan semula jadi, organik, lestari dan biodegradasi berjaya berada di dalam pasaran tiga benua termasuk Asia, Eropah dan Amerika Utara.

 

Menerusi pasaran terbaharu itu, Offspring kini berada di 19 buah negara di seluruh dunia termasuk Rusia, Amerika Syarikat, Sepanyol, Finland dan Korea Selatan.

 

Selain itu, Sedania juga turut dilaporkan berjaya mendapatkan perniagaan bahari di Bahrain yang merupakan negara pertama di Asia Barat.

 

“Saya gembira meneruskan penaklukan Offspring dengan pertambahan satu lagi pasaran baru yang menarik dan berpotensi tinggi. 

 

"Kemajuan yang berterusan ini menunjukkan fokus dan pelaksanaan yang kukuh di dalam usaha meletakkan Offspring sebagai jenama premium bayi kepada pelanggan di seluruh dunia," katanya.-Dagangnews.com