Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 Nov. - Jumlah pasaran modal dalam Bursa Malaysia bagi industri komunikasi dan multimedia susut kepada 7.7% (RM127.71 bilion) pada Oktober 2020.
Menurut laporan buletin IRDA yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), jumlah itu menurun berbanding 8.7% (RM143.18 bilion) pada Januari 2020.
"Penurunan itu selari dengan kebanyakan sektor ekonomi yang mengalami kadar pertumbuhan yang lemah di tengah-tengah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan diikuti oleh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
"Berdasarkan sektor, sektor perkhidmatan menyaksikan penguncupan sebanyak 16.2% pada suku kedua 2020 berbanding 3.1% pada suku pertama 2020," jelas buletin IRDA.
Dalam laporan yang sama, buletin berkenaan memberitahu, impak COVID-19 dalam sektor komunikasi dan maklumat dilihat berada pada tahap sederhana.
Perkara itu didorong oleh tahap kebergantungan yang tinggi terhadap perkhidmatan internet susulan peningkatan pembelian dalam talian dan trend kerja dari rumah.
Penurunan pasaran modal industri komunikasi dan multimedia itu bagaimanapun diimbangi dengan jumlah pasaran modal yang lebih tinggi dalam sektor pos dan kurier iaitu sebanyak RM0.31 bilion.
Sektor berkenaan mencatatkan pertumbuhan sihat sebanyak 43% dalam parasan modal Bursa Malaysia sejak April 2020.
"Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan permintaan e-dagang dan pasaran dalam talian.
"Pemain industri melihat prestasi dan jumlah kurier lebih tinggi berbanding biasa meskipun selepas tempoh kelonggaran pergerakan dan trend ini dijangka berterusan sepanjang tahun ini," tambah buletin itu lagi.
Penilaian terhadap sektor penyiaran pula dilihat suram disebabkan oleh prestasi media tradisional yang semakin lemah seperti langganan media cetak, radio dan televisyen susulan perubahan struktur tawaran digital.
Prestasi itu turut didorong oleh kesan COVID-19 dan ketidakupdayaan pertumbuhan pendapatan digital dalam mengimbangi penurunan prestasi media tradisional. - DagangNews.com