OSK ambil alih aset Universal Cable pada harga RM85 juta | DagangNews Skip to main content

OSK ambil alih aset Universal Cable pada harga RM85 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - OSK Holdings Berhad menerusi Olympic Cable Company Sdn Bhd bercadang mengambil alih aset Universal Cable (M) Berhad pada harga RM85 juta.

 

Universal Cable kini dalam proses pembubaran dan akan melupuskan dua kilang pembuatannya di Tebrau dan Plentong, Johor bersama-sama tanah dan jenteranya.

 

Menerusi cadangan pengambilalihan itu, Olympic Cable bersedia untuk mengembangkan keupayaannya, terutamanya dalam segmen kabel voltan tinggi dan mengukuhkan lagi kehadiran pasarannya di Malaysia.

 

Langkah ini sejajar dengan visi kumpulan yang lebih luas untuk menjadi peneraju pasaran dalam industri pembuatan kabel, di dalam dan dalam pasaran serantau utama.

 

Pengarah Urusan Kumpulan OSK, Ong Ju Yan berkata, bahawa pengambilalihan kilang sedia ada dan operasinya akan mempercepatkan jumlah pengeluaran dan keupayaan kumpulan.

 

cable
Ong Ju Yan

 

“Pemerolehan strategik ini menandakan detik penting dalam trajektori pertumbuhan kami. Dengan menyepadukan kilang sedaia ada dan operasinya, kami bukan sahaja meningkatkan kapasiti pengeluaran tetapi juga mempercepatkan keupayaan inovasi.

 

"Pengembangan ini merupakan komponen penting dalam strategi kumpulan untuk mengukuhkan kehadiran kami dalam sektor pembuatan kabel, meningkatkan kelebihan daya saing dalam mendapatkan kontrak utama di peringkat domestik dan antarabangsa.

 

"Kami yakin pengambilalihan itu akan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan untuk jangka masa panjang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pada masa ini, Olympic Cable mempunyai portfolio yang luas yang merangkumi pembuatan dan penjualan kabel tembaga dan aluminium voltan rendah dan voltan sederhana, kabel kalis api, kabel DC suria, kabel gentian optik dan kabel penghantaran.

 

Syarikat itu mempunyai rekod prestasi 56 tahun yang berkhidmat dengan industri termasuk utiliti kuasa, infrastruktur, pembinaan dan bangunan. - DagangNews.com