OYO lancar petisyen gesa vaksinasi ‘frontliners’ pelancongan dipercepat | DagangNews Skip to main content

OYO lancar petisyen gesa vaksinasi ‘frontliners’ pelancongan dipercepat

MOTAC menyatakan komitmen bahawa kakitangan industri pelancongan atau 'tourism frontliners' yang sedang bertugas dalam tempoh PKP 3.0 bagi tujuan kuarantin, pengasingan dan pekerjaan untuk perkhidmatan penting diberi keutamaan suntikan vaksin. - Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Jun - Rangkaian hotel dan penginapan, OYO Hotels & Homes (OYO) melancarkan satu petisyen untuk menggesa program vaksinasi buat petugas barisan hadapan atau ‘frontliners’ di sektor pelancongan dapat dipercepatkan.

 

Naib Presiden dan Ketua, Malaysia dan Singapura di OYO, Tan Ming Luk berkata, penangguhan program vaksinasi untuk petugas barisan hadapan pelancongan serta hospitaliti bukan sahaja akan mengancam kemandirian industri itu, tetapi turut menjejaskan kehidupan semua pekerjanya.

 

“OYO mengalu-alukan kenyataan media Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) baru-baru ini yang mengulangi komitmennya untuk bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi mengutamakan pemberian vaksin kepada para petugas barisan hadapan sektor pelancongan Malaysia yang sedang bertugas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

 

“Walaupun kami amat menghargai usaha kementerian dalam memperjuangkan keperluan kira-kira 3.6 juta pekerja industri pelancongan dan hospitaliti di Malaysia, namun kami menyedari hakikat bahawa untuk ianya memberi apa-apa kesan kepada pemulihan industri ini, semua petugas barisan hadapan merangkumi semua sektor pelancongan dan hospitaliti perlu divaksin, dan bukan hanya mereka yang bertugas semasa PKP 3.0 sahaja. 

 

Baca : 'Tourism frontliners' diberi keutamaan vaksinasi

 

Untuk memastikan ianya berlaku, kami memerlukan sokongan daripada seluruh industri pelancongan dan hospitaliti. OYO bersolidariti dengan semua orang di dalam industri ini dan telah melancarkan kempen menerusi Change.org bagi menggesa pelaksanaan segera vaksinasi untuk semua petugas barisan hadapan industri pelancongan dan hospitaliti di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Tan Ming Luk
Tan Ming Luk

 

Kempen menandatangani petisyen itu dijalankan menerusi pautan https://www.change.org/VaccineForTourismFrontliners yang juga menyasarkan untuk merangsang pemulihan dan mengembalikan semula kegemilangan sektor pelancongan di Malaysia.

 

Katanya lagi, data yang didapati secara umum menunjukkan bahawa hotel-hotel di Malaysia mengalami kerugian kira-kira RM300 juta setiap dua minggu PKP dilaksanakan. 

 

Walaupun pemberian subsidi, geran dan moratorium pinjaman dapat memberi sedikit kelegaan, namun ujar beliau, realitinya ialah makin cepat negara mengutamakan pemberian vaksin untuk petugas barisan hadapan pelancongan dan hospitaliti, semakin cepat sektor tersebut dapat kembali pulih. 

 

Beliau menyarankan supaya Malaysia ‘belajar’ daripada negara-negara yang mengutamakan pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan pelancongan dan hospitaliti bagi melihat impaknya ke atas industri tersebut. 

 

“Di Seychelles contohnya, satu kempen imunisasi telah dilancarkan pada hujung Januari untuk kepulauan itu, dengan menyasarkan pemberian vaksin kepada majoriti penduduknya menjelang pertengahan Mac dan pembukaan semula sektor pelancongan. 

 

“Kesannya, negara itu telah pun mencatatkan pertumbuhan 1.39% dari Januari hingga sekarang dan kepulauan itu telah pun dibuka kepada pelancong yang telah divaksin. Greece juga telah menganjurkan kempen vaksinasinya sendiri bagi membantu sektor ini,” jelas Ming Luk.

 

Beliau percaya apabila semakin ramai individu telah divaksin dan persekitaran yang selamat dapat diwujudkan untuk semua, keyakinan pengguna untuk kembali melancong akan meningkat secara mendadak dan seterusnya membantu pemulihan sektor pelancongan yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19. - DagangNews.com