Padini ‘sunyi’ menanti pengunjung | DagangNews Skip to main content

Padini ‘sunyi’ menanti pengunjung

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Mac - Jumlah kehadiran pengunjung ke kedai-kedai (outlet) menjadi pemacu utama kepada pemulihan kumpulan syarikat jenama pakaian, Padini Holdings Berhad ketika tempoh tidak menentu ini. 

 

Walaupun Padini turut mengambil pendekatan untuk menumpukan platform dalam talian, namun hasil jualannya masih belum mencukupi untuk kumpulan syarikat itu mencatatkan angka pemulihan. 

 

Menurut MIDF Research, suku pertama tahun kewangan 2021 (1Q21) yang berakhir September 2020 menyaksikan pertumbuhan jualan di beberapa cawangan kedainya menyusut -51% tahun ke tahun ekoran sekatan pergerakan. 

 

“Tanpa pembukaan kedai, pelancaran jenama baharu dan pengembangan kedai di luar negara, pemulihannya dilihat akan dipacu oleh kehadiran pengunjung di kedai-kedai sedia ada. 

 

“Pemulihan dalam jualan juga dijangka terjejas oleh sentimen pengguna serta kemungkinan sekatan pergerakan pada masa akan datang. 

 

“Kami mengadakan taklimat secara maya dengan Padini, dan merasakan pengurusan itu masih lagi dalam keadaan berhati-hati memandangkan keadaan yang tidak menentu dalam masa terdekat, mungkin memberikan impak negatif terhadap prospeknya,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajiannya. 

 

MIDF berkata, pihaknya difahamkan peratusan jualan dalam talian daripada jumlah jualan keseluruhan kumpulan itu melonjak daripada 0.3% pada 2Q20 kepada 0.8% pada 2Q21. 

 

Namun, firma penyelidik itu tidak melihat sumbangan jualan dalam talian akan melonjak dalam masa terdekat ini memandangkan kemudahan ‘back-end’ Padini tidak mampu menampung jumlah yang besar walaupun terdapat permintaan tinggi daripada pelanggan. 

 

Sehubungan itu, Padini mendedahkan kepada MIDF bahawa pihaknya sedang mengkaji pengembangan perniagaan dalam talian tetapi, belum memuktamadkan lagi perbelanjaan modal serta tempoh masanya. 

 

“Ketika ini, Padini mungkin melaksanakan kaedah lain untuk terus mempromosi perniagaannya seperti aplikasi mudah alih,” ujar MIDF lagi.

 

Untuk rekod, kumpulan syarikat itu menutup dua lagi kedai Brand’s Outlet di Damen Mall, Selangor dan Getway@KLIA 2, Vincci di First World, Genting Highlands dan Padini Concept Store di Getway@KLIA 2 selepas penutupan enam kedainya pada 1Q21.

 

Berbanding suku tahun sebelumnya, Padini mempunyai 49 Brand’s Outlet (daripada 51), 47 Padini Concept Store (daripada 48) dan 25 kedai bebas (daripada 26).

 

Bagi MIDF, prospek vaksinasi yang telah bermula di Malaysia juga tidak akan memberi impak segera kepada Padini memandangkan penjarakan sosial masih lagi dikuatkuasakan selagi belum mencapai imuniti kelompok.

 

“Kumpulan syarikat 'menahan' pembayaran dividen untuk menjimatkan tunai memandangkan Padini mengutamakan keperluan perbelanjaan operasi. Kami menjangkakan pembayaran dividen akan diberikan semula apabila prospek perniagaannya lebih jelas. 

 

“Sementara itu, kami menjangkakan prospek Padini pada 3Q21 akan menerima impak negatif daripada penutupan kedai-kedainya selama 28 hari di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, yang serentak dengan musim jualan Tahun Baru Cina. 

 

“Kami juga berpendapat margin keuntungannya akan terjejas sekiranya syarikat perlu mengurangkan harga jualan item bermusim untuk menghabiskan stok,” jelas MIDF lanjut. 

 

MIDF mengekalkan saranan ‘jual’ saham Padini dengan harga sasaran (TP) masih lagi pada kadar RM2.37 sesaham. 

 

Setakat 10.14 pagi, nilai saham Padini menyusut 4 sen kepada RM2.84 daripada paras yang ditutup semalam, RM2.88. - DagangNews.com