PAKEJ kurangkan kos operasi pemain industri kurier | Dagang News Skip to main content

PAKEJ kurangkan kos operasi pemain industri kurier

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Jun - Inisiatif lima tahun untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan sektor kurier, Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) yang diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dijangka dapat mengurangkan kos operasi pemain industri. 

 

Menerusi perkongsian aset serta Pusat Pungutan dan Serahan (PUDO), pemain industri dapat menjimatkan perbelanjaan modal (capex) dan operasi mereka yang seterusnya menjana keuntungan buat syarikat, menurut Pengerusi MCMC, Dr Fadhlullah Suhaimi Abd Malek.

 

“Perkongsian aset dapat mengurangkan kos operasi tambahan, seterusnya menghasilkan keuntungan yang lebih baik. Ini juga akan membolehkan syarikat membayar gaji (pekerja) lebih baik, jadi tiada sebarang rungutan yang akan berbangkit dari mereka.

 

“Kalau dilihat dari segi hasil (syarikat kurier), trend pasaran menyaksikan hasil industri agak mendatar walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah bungkusan. Apa yang lebih teruk, keuntungan industri juga menunjukkan trend menurun. 

 

“Ini sudah tentu memerlukan intervensi, jika tiada apa-apa yang berlaku maka industri akan gagal dan pengguna pula tidak akan menerima perkhidmatan (penghantaran dan penerimaan bungkusan) yang diperlukan,” kata beliau dalam satu taklimat media secara maya hari ini. 

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif City-Link Express, Ronald Tan; Ketua Pegawai Eksekutif GD Express, Teong Teck Lean; dan Ketua Negara, Ninja Van, Adzim Halim.

 

PAKEJ yang merangkumi lapan inisiatif itu dijangka meningkatkan penghantaran bungkusan daripada 14 parcel per kapita kepada 30 parcel per kapita menjelang tahun 2025. 

 

Di bawah pelan sama, kerajaan menerusi MCMC juga akan meningkatkan sistem alamat nasional atau National Address System yang akan memudahkan proses penghantaran bungkusan. 

 

MCMC
FADHLULLAH SUHAIMI ABD MALEK (atas, kiri), Ronald Tan (atas, kanan), Teong Teck Lean (bawah, kiri) dan Adzim Halim (bawah, kanan) dalam taklimat media berhubung PAKEJ, hari ini.

 

Turut diperkenalkan PUDO yang membolehkan pengguna untuk mengambil bungkusan sendiri di pusat pungutan seperti di kedai-kedai serbaneka dengan waktu operasi lebih lama. 

 

Malaysia dijangka menyaksikan 30,000 PUDO menjelang tahun 2025 dengan peningkatan 4,000 pusat pada setiap tahun, tambah Fadhlullah Suhaimi lanjut.

 

Senada beliau, Tan optimis pemain industri mampu mencapai keuntungan menerusi PAKEJ sekali gus dapat menawarkan perkhidmatan penghantaran ke kawasan-kawasan pedalaman.

 

Pelan tersebut dibangunkan berdasarkan kepada dua teras utama iaitu Mencapai Kelestarian Industri dan Kualiti Perkhidmatan (QoS) Kelas Pertama serta Pertumbuhan yang Disokong oleh Liputan. 

 

Peringkat awal pelaksanaan PAKEJ akan memberi fokus kepada inisiatif Rangkaian Titik Bungkusan atau Parcel Point Network (PPN) yang komprehensif dengan lebih banyak PUDO di bawah kendalian satu kumpulan kerja melibatkan para pemegang lesen kurier dan Pihak Berkuasa Tempatan atau Negeri (PBT/PBN). 

 

Bagi merealisasikan QoS, PAKEJ menyasarkan pembangunan garis panduan mengenai terma dan syarat perkhidmatan merangkumi polisi insuran menjelang suku ketiga 2021 (3Q21). 

 

Sebagai rekod, MCMC sekitar penghujung tahun lalu membekukan (moratorium) pemberian lesen baharu perkhidmatan kurier berkuatkuasa selama dua tahun bermula 14 September 2020 sehingga 15 September 2022. 

 

Pelaksanaan moratorium ini dapat mewujudkan jalinan kerjasama antara kerajaan dan industri pos serta kurier untuk merangka strategi baharu bagi memperkukuhkan sektor tersebut yang kini berdepan pelbagai cabaran akibat perubahan teknologi dan trend pasaran. - DagangNews.com