Panel solar: Perniagaan sangat berdaya maju tahun ini, AmInvestment unjur syarikat EPCC raih manfaat besar | DagangNews Skip to main content

Panel solar: Perniagaan sangat berdaya maju tahun ini, AmInvestment unjur syarikat EPCC raih manfaat besar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Jan - Sektor tenaga dijangka menyaksikan pertambahan projek solar tahun ini kerana isi rumah dan syarikat berusaha menjimatkan bil elektrik selain mengurangkan jejak karbon.

 

AmInvestment Bank Research berkata, peningkatan permintaan itu akan memberi manfaat kepada syarikat kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan solar (EPCC) seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pekat Group Berhad, Solarvest Holdings Berhad dan Samaiden Group Berhad.

 

Katanya, permintaan untuk sistem solar berkemungkinan datang daripada segmen atas bumbung, ladang solar dan pusat data.

 

“Kami menganggap permintaan untuk sistem solar atas bumbung akan bertambah apabila syarikat komersial dan perindustrian berusaha untuk menjimatkan bil elektrik dan jejak karbon.

 

"Syarikat EPCC Solar dijangka mendapat manfaat daripada pelancaran projek solar pada 2024," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, di bawah fasa satu Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP), kapasiti solar 563MW telah dianugerahkan kepada pelbagai syarikat dan ini dijangka akan ditauliahkan pada penghujung 2025.

 

Ia menjangkakan margin keuntungan projek solar akan bertambah baik kerana kos panel solar mula menyusut.

 

"Kos panel solar dianggarkan sebanyak 18 sen Amerika Syarikat (AS) setiap kilowatt-jam (kWj) pada masa ini berbanding dengan paras tertinggi 31 sen AS setiap kWj pada 2022," katanya.

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan pendirian 'overweight' terhadap sektor tenaga dan menjangkakan prospek positif bagi kebanyakan syarikat tenaga di bawah liputannya seperti TNB, Malakoff Corporation Berhad, Mega First Corporation Berhad dan YTL Power International Berhad.

 

Mereka juga mengunjurkan permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia meningkat sebanyak 2% pada 2024.

 

Katanya, surcaj tarif untuk pengguna elektrik berkemungkinan berterusan sehingga separuh pertama 2024, tetapi pada kadar yang lebih rendah, kerana kos arang batu dan gas masih lebih tinggi daripada kadar rujukan yang ditetapkan dalam Tempoh Kawal Selia 3 atau RP3.

 

Sementara itu, AmInvest Research menjangkakan eksport elektrik dari Semenanjung Malaysia ke Singapura akan bermula pada separuh pertama 2024, manakala Sarawak mungkin akan mengeksport tenaga hidro ke Singapura pada 2032.

 

Katanya, Singapura merancang untuk mengimport sehingga 4,000MW tenaga elektrik rendah karbon menjelang 2035, menjadikan sehingga 30% daripada bekalan elektrik negara.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan itu berkata, TNB juga akan mendapat manfaat daripada bilangan pusat data yang lebih tinggi di Malaysia, kerana permintaan elektrik berulang daripada pusat data.

 

Difahamkan, permintaan elektrik daripada pusat data berkemungkinan melebihi 5,000MW pada 2035, dengan menyatakan bahawa TNB telah menandatangani perjanjian bekalan elektrik dengan lapan pemain pusat data berjumlah sehingga 2,000MW. - DagangNews.com