Paramount Corporation terbit Sukuk Wakalah bernilai RM100 juta | DagangNews Skip to main content

Paramount Corporation terbit Sukuk Wakalah bernilai RM100 juta

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Pemaju hartanah, Paramount Corporation Bhd menerbitkan Sukuk Wakalah berkaitan kemampanan bernilai RM100 juta.

 

Terbitan itu adalah sebahagian daripada program nota jangka sederhana Islam tidak bertaraf Paramount yang membolehkan meningkat sehingga RM1 bilion nilai nominal berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi-Al Istithmar.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount, Benjamin Teo berkata, terbitan itu merupakan antara langkah penting dalam usaha syarikat mengejar pembangunan mampan.

 

Ia juga menunjukkan komitmen kuat bagi menyepadukan amalan perniagaan dengan penjagaan alam sekitar dan tanggungjawab sosial untuk masa depan.

 

“Dengan mengaitkan Sukuk Wakalah ini kepada sasaran kemampanan khusus, kami mengambil langkah berani ke hadapan dengan memastikan aktiviti kewangan menyokong matlamat perniagaan sambil menyumbang secara positif kepada objektif alam sekitar dan sosial.

 

"Oleh itu, kami menganggap diri kami bertanggungjawab terhadap standard prestasi dan ketelusan yang lebih tinggi," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank Bhd, Tracy Chen berkata, kerjasama antara kedua-dua entiti itu menunjukkan bagaimana instrumen kewangan boleh dimanfaatkan untuk kesan positif alam sekitar dan sosial.

 

"Kami komited untuk memupuk perkongsian yang memacu perubahan bermakna, dan langganan Sukuk Wakalah ini adalah bukti dedikasi kami untuk memajukan kemampanan dalam sektor kewangan," tambahnya. - DagangNews.com