Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pasaran tempatan petang ini melepasi paras 1,500 mata apabila melonjak 2.52% atau 36.88 mata dan ditutup kepada 1,501.49 mata.
Indeks FBM KLCI yang berlegar pada 1467.84 hingga 1501.49 mata melibatkan 6.92 bilion saham bertukar tangan bernilai RM3.89 bilion.
Ia menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi pada 1,096 berbanding 204 manakala 288 kaunter tidak berubah.
Pagi ini, indeks FBM KLCI menokok 10.98 mata kepada 1,475.59 selepas dibuka 4.25 mata lebih tinggi kepada 1,468.86 mata menjelang keputusan pilihan raya presiden AS.
Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.1500/1550 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Mata wang tempatan itu memulakan dagangan pagi lebih tinggi pada RM4.1480/1560 berbanding ditutup semalam, RM4.1650/1710
Menurut Reuters, pasaran saham Asia dan bon meningkat pada Khamis memandangkan para pelabur menjangkakan prospek dasar AS yang tidak berganjak akan memberi kelebihan kepada beberapa industri sementara memberi tekanan kepada pinjaman kerajaan.
"Risiko pilihan raya masih berlangsung walaupun kiraan masih dijalankan dengan berhemah dan calon dari Demokratik Joe Biden berada di hadapan sedikit di negeri-negeri tumpuan," katanya.
Sementara itu, HLIB Research berkata, saham-saham AS melonjak semalaman sementara dunia menunggu keputusan pilihan raya presiden AS.
"Pada Rabu, ringgit naik 0.16% kepada RM4.1645 berbanding dolar AS setelah tiga hari pergerakannya mendatar.
"Kami menjangkakan ketidaktentuan akan berterusan terutama keputusan pilihan raya dan juga pembentangan Bajet 2021 (esok)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Ketua Hutang Negara Asia di Aberdeen Standard Investment, Kenneth Akinteew dalam rancangan 'Street Signs Asia' oleh CNBC berkata, para pelabur saham Asia disarankan supaya menumpu ke arah data ekonomi di rantau ini untuk mempengaruhi pelaburan mereka berbanding mengambil kira aspek pilihan raya AS ketika ini. - DagangNews.com