Pasaran saham kembali susut, kaunter sarung tangan antara heret turun KLCI pagi ini | DagangNews Skip to main content

Pasaran saham kembali susut, kaunter sarung tangan antara heret turun KLCI pagi ini

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Walaupun hampir setiap hari pasaran saham tempatan ditutup tinggi pada minggu ini, namun pembukaan dagangan indeks utama, FBM KLCI sering kali hilang momentum. 

 

Pada pembukaan dagangan 9 pagi, FBM KLCI tidak dapat meneruskan lonjakan penutupan semalam dengan dibuka 0.56 mata lebih rendah kepada 1,524.68, sebelum merosot lagi kepada paras 1,520.59 selepas 8 minit dagangan. 

 

Menurut Rakuten Trade Research, pelantikan Perdana Menteri baharu yang akan diumumkan tidak lama lagi bakal mendorong FBM KLCI untuk berprestasi lebih positif. 

 

“Sementara di pasaran tempatan, ramai menganggap landskap politik akan mereda dengan pelantikan Perdana Menteri baharu yang akan diumumkan tidak lama lagi. 

 

“Oleh itu, FBM KLCI akan meneruskan prestasi positif, disokong oleh pembelian asing kerana kami melihat terdapat aliran masuk asing untuk hari keempat berturut-turut. Buat hari ini, kami menjangkakan indeks itu akan berlegar dalam julat 1,525 hingga 1,530,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.

 

Dagangan pada awal pagi ini bagaimanapun berprestasi agak positif apabila jumlah kaunter untung mengatasi kaunter rugi, pada perbandingan 114 daripada 102, dengan 228 kaunter tidak berubah dan 1754 lagi tidak didagangkan. 

 

Pengeluar sarung tangan getah antara kaunter yang mengheret turun prestasi FBM KLCI pada pagi ini, di mana keempat-empat saham utamanya, Top Glove Corporation Berhad, Hartalega Holdings Berhad, Kossan Rubber Industries Berhad dan Supermax Corporation Berhad memulakan dagangan di kaunter paling rugi. 

 

Bagaimanapun, saham Petronas Gas Berhad mencatatkan kemerosotan saham terbesar pada pembukaan pasaran hari ini, memulakan dagangan 10 sen lebih rendah kepada RM16. 

 

Ini diikuti oleh saham PPB Group Berhad yang dibuka 8 sen lebih rendah kepada RM18.12, sebelum kembali kepada paras penutupan semalam pada kadar RM18.20 setakat 9.16 pagi. 

 

Beralih kepada kaunter paling untung, saham Nestle (Malaysia) Berhad melonjak 80 sen kepada RM134 dengan nilai dagangan bertukar tangan sebanyak RM106,920.

 

Turut menerima impak positif itu adalah saham Petronas Dagangan Berhad, Genting Plantations Berhad, Computer Forms (Malaysia) Berhad, Dataprep Holdings Berhad dan Berjaya Food Berhad.

 

Baca : Program ganjaran Starbuck antara penyumbang lonjakan keuntungan Q4 Berjaya Food

 

Dalam kalangan kaunter paling aktif pula, saham Advance Synergy Berhad menyusut 1.5 sen kepada 18 sen setakat 9.22 pagi dengan nilai dagangan bertukar tangan pada kadar RM7.08 juta.

 

Turut menjadi perhatian pelabur adalah saham Appasia Berhad yang kekal pada paras 17 sen daripada penutupan semalam dan diikuti oleh saham Sedania Innovator Berhad yang menokok 2.5 sen kepada 78.5 sen setakat 9.22 pagi. 

 

Media melaporkan, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan beliau dan Ahli Parlimen daripada UMNO serta parti lain diundang menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

 

Baca : Ahli Parlimen BN, PN, GPS dan PAS ke Istana Negara pagi ini, menandakan PH `tewas lagi'

 

Dalam ciapan di Twitter, Setiausaha Agung UMNO itu berkata, ini bagi mengesahkan sokongan Akuan Bersumpah (SD) terhadap Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri ke-9. - DagangNews.com