Pasaran tempatan raih sedikit pemangkin | DagangNews Skip to main content

Pasaran tempatan raih sedikit pemangkin

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Pasaran tempatan ditutup tinggi petang ini meskipun pasaran serantau yang lain menyaksikan dagangan bercampur-campur. 

 

Indeks utama FBM KLCI menokok 5.31 mata atau 0.34% kepada 1,580.62 mata setelah bergerak dalam jajaran antara 1,580.37 hingga 1,593.08 dalam dagangan hari ini. 

 

Kaunter untung mengatasi rugi pada 614 berbanding 525 manakala 454 kaunter tidak berubah. 

 

Jumlah dagangan berjumlah 5.64 bilion bernilai RM4.98 bilion berbanding semalam dengan 5.93 bilion saham diniagakan bernilai RM4.74 bilion. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, pasaran serantau seperti indeks SET Bangkok, KOSPI (Korea Selatan) dan PSEI (Filipina) merekodkan penurunan manakala Indeks Straits Time Singapura dan Nikkei (Jepun) ditutup tinggi. 

 

Kebanyakan pergerakan positif dan negatif pasaran tidak tinggi dan melebihi 1%, katanya. 

 

"Dagangan hari ini bergerak mendatar kerana pelabur masih menilai kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Jerome Powell selepas tamatnya mesyuarat dasar selama 2 hari yang mana ia dijangka mengekalkan pendirian dasar monetari. 

 

"Selain itu, wujud sentimen negatif pada ketika harapan semakin meningkat terhadap pakej rangsangan AS, sekali gus meningkatkan sentimen dalam beberapa minggu ini," katanya kepada DagangNews.com 

 

Di pasaran tempatan, katanya, Telekom Malaysia Bhd. (TM) mencatat keuntungan paling tinggi, melonjak hampir 5% sepanjang hari selepas syarikat itu dijangka meraih manfaat utama di bawah Pelan Infrastruktur Digital Kebangsaan (Jendela). 

 

"Oleh itu, indeks telekomunikasi merekodkan kenaikan sehingga 3.1% dalam dagangan hari ini," katanya. 

 

TM sebelum ini berkata, syarikat telah melebihi sasaran yang ditetapkan di bawah Jendela bagi pemasangan infrastruktur talian tetap jalur lebar dengan mencapai 124% daripada keseluruhan premis yang komited bagi tahun 2020. 

 

Mengenai ringgit pula, beliau berkata, mata wang itu menunjukkan kekuatan berbanding dolar AS setelah mengukuh 1% didorong peningkatan harga minyak mentah apabila inventori dikurangkan dalam jumlah yang banyak.  

 

Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.0430/0460 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam, pada RM4.0470/0500. - DagangNews.com