Pasaran tempatan, ringgit ditutup lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Pasaran tempatan, ringgit ditutup lebih tinggi

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Pasaran tempatan ditutup pada 1,524.32 mata setelah menokok 4.68 mata petang ini menjejaki pasaran serantau yang menerima kesan positif ekoran kemenangan Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).

Indeks FBM KLCI yang berlegar antara 1,513.21 hingga 1,533.05 mata hari ini menyaksikan 11.7 bilion saham bertukar tangan bernilai RM4.62 bilion. 

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi pada 621 berbanding 533 manakala 420 kaunter tidak berubah. 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.1080/1130 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan pada Jumaat, RM4.1275/1325. 

Dalam dagangan pagi, ringgit dibuka tinggi pada RM4.1200/4.1290 berbanding dolar AS.

Menurut Trading Economics, ringgit mengukuh 0.44% kepada RM4.1080 berbanding sesi sebelumnya. 

"Kami menjangkakan ringgit akan berlegar pada paras RM4.12 berbanding dolar AS sehingga berakhir suku ini," katanya. 

Dalam masa sama, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) turut mencatat peningkatan sebanyak 1.0% pada September 2020 berbanding bulan sama sebelumnya, dipacu pertumbuhan positif 4.3% dalam indeks pembuatan. 

Di peringkat global, menurut Bloomberg, niaga hadapan AS melonjak dalam pasaran ekuiti Asia pada Isnin, kesinambungan daripada risiko minggu lalu selepas Joe Biden diisytihar Presiden AS, Sabtu lalu. Bagaimanapun, dolar AS semakin menyusut.  

Rakuden Trade dalam laporan pasaran harian berkata, pasaran bergerak lebih baik hari ini selepas kemenangan yang diraih Joe Biden. 

"Niaga hadapan AS diniagakan 300 mata lebih tinggi dan kami menjangkakan pasaran serantau juga akan bergerak positif," katanya. 

Pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat lalu terus dilihat memberi sokongan kepada pasaran, apabila pagi tadi indeks FBM KLCI dibuka tinggi pada 1,525.38 mata.

Menurut CGS-CIMB, pada Jumaat, indeks yang dibuka lebih tinggi menandakan keyakinan pasaran terhadap langkah-langkah diambil kerajaan dalam memperkukuhkan ekonomi negara dan menjejaki pasaran serantau disusuli kemenangan Joe Biden. 

"Kami menjangkakan indeks pada November akan berlegar pada paras sokongan dan rintangan masing-masing 1,500 mata dan 1,555 mata," katanya dalam nota kajian hari ini. - DagangNews.com