Pecca jangka tempoh terbaik bakal tiba setelah raih keputusan kewangan paling kukuh | DagangNews Skip to main content

Pecca jangka tempoh terbaik bakal tiba setelah raih keputusan kewangan paling kukuh

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Pengeluar upholsteri kulit automotif Pecca Group Berhad mencipta hatrik pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY2022), selepas hasil tahunannya, Untung Selepas Cukai (PAT) dan margin PAT semuanya meraih rekod tertinggi baharu.

 

Kumpulan, bagaimanapun, yakin tempoh terbaiknya bakal tiba pada masa akan datang kerana Pecca berusaha untuk menyiapkan jumlah pesanan yang lebih besar kepada pelanggan domestik dan antarabangsanya yang semakin berkembang, di tengah-tengah langkah pengoptimuman kos yang berterusan.

 

Pendapatan Pecca untuk FY2022 - yang paling kukuh pernah dicapai - meningkat sebanyak 13.6% tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM164.4 juta daripada RM144.8 juta.

 

Asas kewangan peringkat atas yang lebih baik itu didorong oleh jualan yang lebih kukuh daripada segmen automotifnya yang mana pelanggannya termasuk Proton, Perodua, Nissan, Toyota, Peugeot dan Volkswagen.

 

Kumpulan menyaksikan sumbangan yang lebih tinggi daripada hampir semua geografi pasaran - iaitu Malaysia, seluruh Asia, Eropah dan Amerika Utara. Pasaran ini secara kolektif menyumbang 99% daripada Pecca pada FY2022.

 

Kumpulan juga mencatatkan rekod tertinggi PAT baru sebanyak RM22.8 juta pada FY2022, mewakili peningkatan 18.8% tahun-ke-tahun daripada RM19.2 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Asas kewangan peringkat bawah yang lebih kukuh dicapai didorong jualan yang lebih kukuh dan langkah kecekapan kos Kumpulan melalui penambahbaikan proses berterusan, automasi dan strategi perolehan berhemat.

 

Pecca berjaya mencapai PAT tertinggi sepanjang masa dalam tempoh operasi yang dipendekkan hanya 10.5 bulan, selepas mengambil kira penutupan perniagaan semasa tempoh penutupan mandat kerajaan.

 

Sementara itu, margin PAT Pecca juga meningkat kepada 13.9%, tertinggi sejak penyenaraian Kumpulan. Ini adalah tahun kedua berturut-turut pengembangan margin PAT.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pecca, Foo Ken Nee berkata, Pecca adalah penerima manfaat utama pemulihan berterusan dalam industri automotif.

 

Foo Ken Nee
                           Foo Ken Nee

 


"Memandangkan pengeluar automotif tergesa-gesa untuk memenuhi pesanan tertunggak mereka, ditambah pula dengan pelancaran model kereta baharu oleh pelanggan jangka panjang kami, ini telah meningkatkan prestasi kewangan kami pada FY2022.

 

"Pada akhir Jun 2022, segmen automotif kami bergerak pada kapasiti operasi maksimum dan kami juga telah membuka syif baharu untuk memenuhi pesanan tambahan.

 

"Memandangkan kami sedang mengembangkan kapasiti pengeluaran kami kepada kira-kira 40,000 hingga 50,000 tempat duduk sebulan menjelang akhir 2023, berbanding 20,000 hingga 22,000 tempat duduk pada masa ini, terdapat keperluan untuk kami mempercepatkan kemudahan pembuatan kedua kami di Serendah," jelas beliau. - DagangNews.com