Pegangan asing bon Malaysia capai paras tertinggi 4 tahun | DagangNews Skip to main content

Pegangan asing bon Malaysia capai paras tertinggi 4 tahun

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Pegangan asing dalam bon kerajaan Malaysia (MGS dan GII) meningkat RM2.7 bilion kepada RM198.4 bilion atau 23.9% pada November, paras tertinggi bagi tempoh 4 tahun.

 

Pada November, ia menyaksikan pegangan asing terus menambah sekuriti hutang Malaysia sebanyak RM1.9 bilion berbanding Oktober sebanyak RM8 bilion.   

 

UOB Bank berkata, ia menandakan bulan ketujuh yang mencatatkan aliran masuk bersih asing dalam pasaran bon domestik yang mana membantu bagi mengimbangi aliran keluar dari ekuiti Malaysia. 

 

"Aliran masuk asing dalam sekuriti kerajaan Malaysia telah meningkatkan pegangan asing pada November," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan memaklumkan rizab asing meningkat AS$700 juta bulan ke bulan kepada AS$105.3 bilion setakat akhir November berbanding AS$104.6 bilion pada akhir Oktober. 

 

Rizab itu memadai untuk membiayai 8.6 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
 

Menurut UOB Bank, terdapat jualan sederhana dalam ringgit dan bon kerajaan Malaysia jangka panjang semalam selepas Fitch Ratings menurunkan penarafan kredit Malaysia, Jumaat lalu. 

 

"Tetapi kami menjangkakan tindakan mendadak ini hanya sementara memandangkan sentimen kukuh di sebalik pertumbuhan domestik yang lebih baik pada 2021. 

 

"Selain itu, kadar faedah rendah, kebimbangan terhadap penawaran bon yang lemah pada tahun depan dan jangkaan kelemahan dolar AS," katanya. 

 

Firma itu menjangkakan ringgit akan mencecah paras RM4 berbanding dolar AS menjelang akhir 2021 manakala RM3.95 pada akhir suku keempat tahun hadapan. - DagangNews.com