Pegangan asing dalam pasaran ekuiti Malaysia cecah paras terendah | DagangNews Skip to main content

Pegangan asing dalam pasaran ekuiti Malaysia cecah paras terendah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Pegangan asing dalam ekuiti Malaysia pada akhir Julai susut 0.1% kepada paras terendah setakat ini, 20.2%. 

 

CGS-CIMB dalam laporan aliran dana mingguannya berkata, penurunan ini disebabkan jualan ekuiti secara berterusan oleh pelabur asing. 

 

Malah, katanya, pelabur asing menjadi penjual bersih ekuiti tempatan sejak Julai 2019 lagi.

 

"Sepanjang minggu lalu, mereka telah menjual RM451 juta ekuiti tempatan, menandakan minggu ketujuh berturut-turut menyaksikan aliran keluar asing. 

 

"Dengan itu, ia menjadikan keseluruhan ekuiti yang dilupuskan pelabur asing setakat ini berjumlah RM6 bilion," katanya dalam laporan strategik itu hari ini.

 

Data firma itu mendapati trend penurunan pegangan asing ini bermula sejak Mei 2018 khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei apabila Pakatan Harapan meraih majoriti mudah di Parlimen, menandakan perubahan tampuk kepimpinan kerajaan buat kali pertama dalam sejarah negara. 

 

Mulai saat itu, tahap pegangan asing mulai menyusut dengan jatuh 4 mata peratusan daripada setinggi 24.2% pada Mei 2018.

 

Sumber : CGS-CIMB
Sumber : CGS-CIMB

 

 

Bagi dagangan minggu berakhir 6 Ogos itu, CGS-CIMB berkata, indeks utama FBM KLCI susut 0.3% minggu ke minggu disebabkan kerugian dalam sektor penjagaan kesihatan. 

 

"Hampir kebanyakan sektor mengalami kerugian minggu lalu disebabkan kebimbangan kes harian COVID-19 masih kekal tinggi dan juga ketidaktentuan situasi politik," jelasnya. 

 

Saham Hartalega, Petronas Chemical dan MR DIY pula banyak diniagakan sepanjang minggu lalu.

 

Ia menyaksikan pelabur runcit dan penama paling banyak membeli saham Hartalega dengan masing-masing sebanyak RM89.3 juta dan RM34 juta. 

 

Pelabur institusi asing pula banyak membeli saham Petronas Chemical sebanyak RM33.3 juta manakala saham MR DIY jadi pilihan pelabur institusi tempatan yang membeli sebanyak RM32.5 juta. 

 

Secara keseluruhan, volum purata datangan harian minggu lalu susut 5% minggu ke minggu kepada 4.2 bilion unit manakala nilai purata dagangan harian juga merosot 4% kepada RM2.57 bilion. - DagangNews.com