Pekat peroleh subkontrak RM21.8 juta daripada Gamuda bagi pemasangan sistem pelindung kilat pusat data | DagangNews Skip to main content

Pekat peroleh subkontrak RM21.8 juta daripada Gamuda bagi pemasangan sistem pelindung kilat pusat data

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Pekat Group Bhd menerusi Pekat E & LP Sdn Bhd menerima subkontrak bernilai RM21.8 juta daripada Gamuda Engineering Sdn Bhd bagi pemasangan sistem pembumian dan pelindung kilat bagi pusat data di Rawang, Selangor.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak itu merangkumi kerja-kerja pengujian dan pentauliahan sistem tersebut untuk satu blok pusat data setingkat, bilik jentera, bilik sub kompak, pencawang, pondok pengawal, kebuk sampah, laman elektrik, laman mekanikal, tujuh unit tangka air, empat unit bilik pam dan bilik kimia.

 

"Subkontrak itu dijangka siap pada 30 September 2025, manakala kontrak utama dijangka siap pada 27 Februari 2026," katanya.

 

Katanya, lokasi kontrak itu adalah berkaitan dengan pusat data hiperskala di Elmina Business Park. 

 

Pada Mei 2024, Gamuda Bhd telah memenangi projek pembinaan pusat data daripada Sime Darby Property Bhd dengan nilai kontrak berjumlah RM1.74 bilion.

 

Pekat E & LP dikehendaki meletakkan bon prestasi sebanyak 10%, berjumlah RM2.18 juta bagi kontrak itu.

 

Kumpulan itu menjangkakan pekerjaan itu akan menyumbang kepada pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya, sehingga kontrak selesai.

 

Terdahulu, kumpulan itu membeli pembekal alat suis tempatan Apex Power Industry Sdn Bhd pada harga RM96 juta, sejajar dengan strategi pertumbuhan perniagaan jangka panjangnya bagi mewujudkan kehadirannya dalam sektor perniagaan peralatan pengagihan kuasa.- DagangNews.com