Pelabur asing beli RM1.49 bilion ekuiti tempatan pada Mei 2024, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli RM1.49 bilion ekuiti tempatan pada Mei 2024, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Jun - Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih ekuiti tempatan sebanyak RM1.49 bilion pada Mei 2024 selepas terhenti selama dua bulan dengan pembelian berlaku dalam tempoh 13 daripada 21 hari dagangan.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, belian bersih adalah ketara dalam tempoh tiga minggu bulan Mei 2024 sebelum kembali kepada jualan bersih pada minggu keempat bulan sama.

 

Katanya, belian bersih Mei 2024 mengecilkan jualan keseluruhan sehingga kini bagi ekuiti tempatan sebanyak RM770 juta.

 

"Jualan bersih runcit ekuiti tempatan menurun kepada RM830 juta pada Mei berbanding RM1 bilion pada April 2024.

 

"Institusi tempatan bertukar menjadi penjual bersih dengan melupuskan RM660 juta ekuiti tempatan berbanding RM2.37 bilion pada April 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, aktiviti dagangan kekal teguh dengan purata nilai dagangan (ADV) dalam ekuiti mencecah paras tertinggi sejak Apr 2021 pada RM4.3 bilion pada Mei 2024 dengan penyertaan asing dari bulan ke bulan yang lebih rendah pada 32.2%, penyertaan DI pada 45.5% dan penyertaan runcit meningkat sehingga 22.4%.

 

Maybank IB berkata, dana asing membeli RM580 juta hutang Ringgit Malaysia pada April 2024.

 

Katanya, ia meningkatkan jumlah pemilikan asing kepada RM266.4 bilion (Mac: RM265.8 bilion).

 

Bahagian asing Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan MGS+Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) adalah lebih rendah daripada bulan ke bulan iaitu 32.8% dan 21.4% setiap satu.

 

Jumlah aliran portfolio bertukar negatif pada April 2024 dengan RM790 juta disebabkan jualan bersih asing yang besar untuk ekuiti tempatan sebanyak RM1.37 bilion pada April 2024. 

 

Bagi empat bulan pertama 2024, aliran portfolio ialah negatif RM6.3 bilion. - DagangNews.com