Pelabur asing beli RM474.1 juta ekuiti tempatan bagi minggu kelima berturut-turut - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli RM474.1 juta ekuiti tempatan bagi minggu kelima berturut-turut - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mei - Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut selepas membeli RM474.1 juta ekuiti tempatan.

 

MIDF Research berkata,  ia adalah hari dagangan yang dipendekkan minggu lalu sempena cuti Hari Wesak pada Rabu. 

 

Katanya, pelabur asing membeli bersih RM102.6 juta ekuiti tempatan pada Isnin dan sejumlah RM474.5 juta pada Khamis dan menjual ekuiti berjumlah RM26.2 juta pada selasa dan RM76.8 juta pada Jumaat.

 

"Sektor dengan aliran masuk asing bersih tertinggi minggu lepas ialah pengangkutan & logistik (RM221.4 juta), teknologi (RM183.3 juta) dan pembinaan (RM77juta), manakala sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perladangan (RM40.7 juta), penjagaan kesihatan (RM34.2 juta) dan produk & perkhidmatan pengguna (RM34 juta)," katanya dalam laporan aliran dana berakhir 24 Mei 2024, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan meneruskan rentak jualan bersih mereka untuk minggu keempat berturut-turut, dengan jumlah RM192.5 juta. 

 

Katanya, mereka menjual bersih sejumlah RM36.1 juta padaIsnin dan RM355.3 juta hari Khamis dan menjadi pembeli berih dengan RM101.9 juta pada Selasa dan RM97 juta pada Jumaat.

 

"Sementara itu, peruncit tempatan meneruskan jualan bersih mereka, kini menjangkau minggu ke-11 berturut-turut selepas jualan bersih RM281.6 juta. 

 

"Mereka menjadi penjual bersih setiap hari pada minggu lepas dan telah mencatatkan jualan bersih selama sembilan hari dagangan berturut-turut," katanya.

 

MIDF Research berkata, dari segi penyertaan,, purata jumlah dagangan harian (ADTV) meningkat untuk peruncit tempatan (7.1%), institusi tempatan (12.4%) dan pelabur asing (18.3%).- DagangNews.com