Pelabur asing beli RM535 juta ekuiti tempatan minggu lalu - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli RM535 juta ekuiti tempatan minggu lalu - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - Pelabur asing terus menjadi pembeli bersih selepas melakukan jualan singkat pada minggu lalu dengan membeli ekuiti tempatan sebanyak RM535 juta dalam minggu dagangan yang singkat kerana Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada 3 Jun 2024.

 

MIDF Research berkata, pada minggu lalu, pelabur asing membuat pembelian sepanjang minggu dengan RM253.7 juta pada Selasa, RM163.6 juta juta (Khamis) dan RM186.6 juta pada Jumaat manakala mereka menjual sebanyak RM69.1 juta pada Rabu. 

 

"Sektor yang mempunyai aliran masuk asing bersih tertinggi minggu lepas ialah utiliti (RM167.5 juta), pengangkutan & logistik (RM134.5 juta), dan teknologi (RM115.7 juta), manakala sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perladangan (RM108.2 juta), telekomunikasi & media (RM32.1 juta) dan tenaga (RM22.4 juta)," katanya dalam laporan aliran dana berakhir 7 Jun 2024, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan kembali kepada jualan bersih sebanyak RM293.5 juta selepas mencatatkan belian bersih seketika minggu sebelumnya.

 

Katanya, peruncit tempatan kembali kepada jualan bersih semula, melupuskan ekuiti bernilai RM242.5 juta selepas belian bersih seketika minggu sebelumnya. Mereka kekal menjadi penjual bersih sepanjang minggu.

 

"Dari segi penyertaan, purata jumlah dagangan harian (ADTV) merosot secara keseluruhan sebanyak 6.3% untuk peruncit, 2.7% untuk institusi tempatan dan 21.7% untuk pelabur asing," katanya.- DagangNews.com