Pelabur asing beli RM873.9 juta ekuiti tempatan bagi minggu keempat berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli RM873.9 juta ekuiti tempatan bagi minggu keempat berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mei - Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut dengan pembelian ekuiti tempatan sebanyak RM873.9 juta.

 

MIDF Research berkata, ia telah mengubah aliran keluar asing kepada aliran masuk bersih sebanyak RM4.9 juta.

 

Katanya, minat berterusan dalam pasaran domestik kemungkinan berpunca daripada keyakinan ekonomi, kerana data terkini menunjukkan peningkatan 4.2% dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh suku pertama tahun ini.

 

"Ini mengatasi ramalan pertumbuhan 3.9% oleh Reuters dan anggaran awal yang dikeluarkan oleh kerajaan.

 

"Dana asing merupakan pembeli bersih di Malaysia sepanjang minggu lepas, dengan tertinggi pada Rabu dengan aliran masuk bersih RM299.98 juta.

 

"Ini adalah permulaan pembelian bersih yang kukuh oleh dana asing kerana hari-hari berikutnya menyaksikan aliran masuk bersih lebih daripada RM100 juta setiap hari (Khamis: RM269.2 juta, Jumaat: RM184.3 juta)," katanya dalam laporan aliran dana berakhir 17 Mei 2024, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sektor dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah pengangkutan & logistik (RM223.6 juta), utiliti (RM189.1 juta) dan penjagaan kesihatan (RM183.3 juta), manakala satu-satunya sektor yang mempunyai aliran keluar asing bersih ialah perladangan (RM64.7 juta) dan pembinaan (RM6.7 juta).

 

Katana, institusi tempatan meneruskan rentak jualan bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan jumlah RM379.7 juta.

 

"Bagi minggu kesepuluh berturut-turut, peruncit tempatan berterusan melupuskan ekuiti domestik, berjumlah RM494.1 juta.

 

"Dari segi penyertaan, purata jumlah dagangan harian (ADTV) meningkat untuk peruncit tempatan (27.1%), institusi tempatan (18%) dan pelabur asing (8.5%)," katanya.- DagangNews.com