Pelabur asing dijangka kembali ke pasaran ekuiti Malaysia pada separuh kedua 2023, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing dijangka kembali ke pasaran ekuiti Malaysia pada separuh kedua 2023, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - Pelabur asing dijangka kembali ke pasaran ekuiti Malaysia pada separuh kedua 2023 didorong pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang kukuh.

 

AmInvestment Bank Research berkata, jangkaan itu juga dibuat berdasarkan unjuran ringgit yang semakin mengukuh di pasaran.

 

"Kami menjangkakan aliran keluar dana asing bersih berbalik arah pada separuh kedua 2023 didorong penilaian ekuiti Malaysia yang positif dan unjuran KDNK yang baik disokong penggunaan domestik agak kukuh 4.5% berbanding konsensus 2.4% dan 1% untuk Amerika Syarikat (AS).

 

"Justeru, kami mengunjurkan prestasi saham yang lebih kukuh menjelang akhir 2023 selepas lemah pada separuh pertama tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, penjualan pegangan asing lebih pantas disebabkan kebimbangan kemerosotan kecairan global yang dicetuskan oleh kegagalan bank peringkat pertengahan AS seperti Silicon Valley Bank dan First Republic Bank ditambah pula dengan kekeliruan yang didorong oleh Credit Suisse terhadap penarafan bon Tahap-1 bagi institusi kewangan.

 

Aliran keluar dana asing melonjak bulan ke bulan kepada RM1.3 bilion pada Mac berbanding RM168 juta pada Februari 2023, sementara institusi tempatan menjadi pembeli bersih RM1.2 bilion.

 

Sejumlah 62% daripada jualan bersih asing pada Mac adalah sektor perbankan, 15% dalam perkhidmatan perindustrian dan 13% dalam syarikat telekomunikasi.

 

Dari Januari hingga Mac tahun ini, pasaran modal Malaysia mencatatkan jualan asing sederhana sebanyak RM1.9 bilion berbanding Thailand (RM7.3 bilion) dan Filipina (RM2.3 bilion).

 

Bagaimanapun, Indonesia sebaliknya di mana pembeli asing membeli RM1.9 bilion pada Mac, meningkat dari RM1.6 bilion pada Februari dan RM911 juta pada Januari.

 

Pada masa sama, firma itu mengekalkan sasaran Bursa Malaysia sebanyak 1,630 mata akhir tahun ini disokong prospek ekonomi yang agak kukuh selain jangkaan ringgit bertambah baik kepada RM4.20 hingga RM4.30 menjelang Disember 2023.

 

"Walaupun pertumbuhan KDNK Malaysia 2023 dijangka berkurangan kepada 4.5%, ini kekal lebih baik daripada prospek kemelesetan di AS dan Eropah," katanya. - DagangNews.com