Pelabur asing jual RM1.24 bilion ekuiti tempatan minggu lalu, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM1.24 bilion ekuiti tempatan minggu lalu, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jun - Pelabur asing menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia pada minggu lalu dengan menjual RM1.24 bilion ekuiti tempatan selepas menjadi pembeli bersih selama lima minggu berturut-turut.

 

MIDF Research berkata, terdahulu, mereka telah menjadi penjual bersih selama lapan minggu berturut-turut.

 

Pelabur asing menjual bersih sejumlah RM174.6 juta pada Isnin, RM177.5 juta pada Selasa, RM313.4 juta pada Rabu, RM86.5 juta pada Khamis, dan RM488.7 juta pada Jumaat.

 

 

"Sektor yang mempunyai aliran masuk asing bersih tertinggi minggu lepas ialah teknologi (RM108.5 juta), pengangkutan & logistik (RM64.8 juta), dan hartanah (RM22.4 juta), manakala sektor yang mempunyai aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM800 juta), utiliti (RM250.7 juta), dan perladangan (RM157.4 juta).

 

Firma penyelidikan tu berkata, institusi tempatan menamatkan rentetan jualan bersih mereka selama empat minggu dengan membeli sejumlah RM1.03 bilion. 

 

Katanya, mereka membeli setiap hari dagangan dengan jumlah tertinggi pada Jumaat pada RM341.9 juta.

 

"Peruncit tempatan mengakhiri jualan bersih berturut-turut 11 minggu mereka dengan membeli ekuiti domestik bernilai RM205.9 juta minggu lepas," katanya.

 

Dari segi penyertaan, purata jumlah dagangan harian (ADTV) menurun bagi peruncit tempatan (9%), dan institusi tempatan (13.6%), tetapi meningkat bagi pelabur asing (27.3%). - DagangNews.com