Pelabur asing jual RM23.40 bilion ekuiti Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM23.40 bilion ekuiti Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Pelabur asing telah menjual sehingga RM23.40 bilion ekuiti Malaysia bermula awal tahun 2020 hingga setakat minggu lalu. 

 

Pada minggu lalu yang berakhir 20 November, pelabur asing merupakan penjual ekuiti Malaysia terbesar bernilai RM268.8 juta. 

 

MIDF Research berkata, penglibatan pelabur asing pada minggu lalu kebanyakannya mencatatkan aliran keluar dengan nilai tertinggi, RM170.54 juta pada hari Khamis lepas.

 

“Apabila pasaran dibuka semula pada Isnin minggu lalu, pelabur asing telah menjual sebanyak RM126.4 juta ekuiti tempatan dengan pelabur runcit dan institusi merupakan pembeli terbesar masing-masing RM15.0 juta dan RM111.4 juta. 

 

“Pelabur runcit menghentikan pembelian berterusan pada minggu keenam selepas mencatatkan momentum pembelian sepanjang lima minggu. 

 

Kami berpendapat bahawa minggu lalu adalah perolehan untung sedikit dalam kalangan pelabur runcit berikutan penemuan berita vaksin baru-baru ini,” kata MIDF dalam laporan aliran dana mingguannya hari ini. 

 

Antara ketiga-tiga pasaran di Asia Tenggara pada minggu lalu, Thailand kekal sebagai penerima aliran masuk tertinggi, manakala Malaysia masih mencatatkan aliran keluar terbesar. 

 

Dari segi penyertaan pasaran, pelabur runcit mencatatkan penurunan mingguan sebanyak 0.20% dari segi nilai purata dagangan harian (ADTV), manakala pelabur asing menurun sebanyak -16.08% ADTV dan pelabur runcit (5.25% ADTV). 

 

Pada minggu lalu, Maybank menyaksikan aliran masuk wang tertinggi sebanyak RM5.06 juta dengan harga sahamnya meningkat 2.90% lebih tinggi. 

 

Harga saham itu mengatasi bursa tempatan yang mempunyai peningkatan mingguan sebanyak 0.26%.

 

Sementara itu, Genting Malaysia pula menyaksikan aliran keluar tertinggi sebanyak RM5.04 juta pada minggu lalu. 

 

Harga saham syarikat itu melonjak sebanyak 4.53% lebih tinggi mengatasi KLCI yang meningkat sebanyak 0.26% pada minggu sama. - DagangNews.com