Pelabur asing ungguli pasaran minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing ungguli pasaran minggu lalu

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Mac - Pasaran ekuiti tempatan pada minggu lalu menyaksikan pelabur asing kembali menjadi pembeli terbesar dengan nilai aliran masuk bersih mencecah RM241 juta. 

 

Bagaimanapun, nilai itu menyusut -16% berbanding minggu sebelumnya. 

 

Prestasi itu sekali gus menyaksikan pelabur asing berjaya ‘merampas’ kedudukan pelabur runcit yang sekian lama menjadi pembeli terbesar pasaran ekuiti Malaysia, menurut CGS-CIMB Research.

 

“Mereka membeli, terutamanya saham dalam sektor penjagaan kesihatan, produk pengguna dan tenaga. 

 

“Tiga saham yang menarik pembelian asing adalah Supermax, Tenaga Nasional dan DNeX, sementara saham dengan aliran keluar asing tertinggi adalah Telekom, Inari dan UWC. 

 

“Setakat ini sepanjang tahun 2021 (YTD), penjualan bersih asing jatuh kepada RM1.2 bilion,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.

 

Secara keseluruhannya, FBM KLCI pada minggu lalu yang berakhir 12 Mac meningkat 1% kepada 1,616 mata didorong oleh lonjakan dalam sektor produk perindustrian dan pengguna di mana mengimbangi kerugian dalam sektor penjagaan kesihatan. 

 

Namun, purata jumlah dagangan harian jatuh 8% minggu ke minggu (w-o-w) kepada 9.7 juta unit, sementara purata nilai dagangan harian menokok 4% w-o-w kepada RM6.2 bilion memandangkan para pelabur tertumpu pada syarikat dengan permodalan pasaran lebih besar. 

 

Susulan daripada prestasi memberangsangkan yang ditonjolkan pelabur asing, pelabur runcit menjadi pembeli kedua terbesar pada minggu lalu, di mana momentum pembelian mereka jatuh 39% kepada RM186 juta. 

 

“Pelabur runcit membeli saham dalam sektor penjagaan kesihatan. Tiga saham teratas yang dibeli adalah Top Glove, Public Bank dan Inari,” tambah CGS-CIMB. 

 

YTD, pelabur runcit telah membeli bersih saham Malaysia sebanyak RM4.3 bilion, kata firma penyelidikan itu.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan masih menjual bersih ekuiti tempatan bagi 14 minggu berturut-turut, ujar CGS-CIMB. 

 

Namun, jumlah jualan bersih mereka jatuh 36% w-o-w kepada RM368 juta, menjadikan jualan bersih YTD bernilai RM4.1 bilion. 

 

Mereka menjual saham dalam sektor penjagaan kesihatan, terutamanya Top Glove, Supermax, Public Bank, Maybank dan Sime Darby.

 

Ini sekali gus menyaksikan Top Glove dan Telekom menduduki tangga teratas dalam senarai saham yang dibeli dan dijual.

 

Untuk rekod, sektor yang berprestasi tinggi pada minggu lalu merupakan hartanah (+8.1%), pembinaan (+5.%) dan tenaga (+5.3%), manakala tiga sektor berprestasi paling buruk adalah penjagaan kesihatan (-3.7%), teknologi (-1.5%) dan perladangan (-0.4%). - DagangNews.com