Pelabur ‘buru’ saham murah lonjak KLCI dibuka tinggi | DagangNews Skip to main content

Pelabur ‘buru’ saham murah lonjak KLCI dibuka tinggi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com



 

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Apabila kes COVID-19 kian meningkat, para pelabur sekali lagi berubah arah untuk menumpukan pembelian saham murah. 

 

Ini sekali gus melonjakkan KLCI untuk dibuka lebih tinggi walaupun pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Asia tidak menentu. 

 

Setakat 9.03 pagi, KLCI mencecah 1,596.55 menokok sebanyak 2.80 mata atau 0.18%.

 

Rakuten Trade Research menjangkakan pelabur di pasaran tempatan meletakkan minat membeli terhadap saham berkaitan penjagaan kesihatan dan peralatan perlindungan diri hari ini. 

 

“Jumaat lalu, Bursa Malaysia menyaksikan pemburuan saham murah terhadap syarikat sarung tangan yang lemah didorong peningkatan kes COVID-19, sekali gus melonjak KLCI ditutup lebih tinggi. 

 

“Sementara itu, harga minyak mentah Brent ditutup menghampiri AS$45 dan melonjak lebih 5% pada minggu lalu. 

 

“Oleh itu, para pelabur disarankan untuk memiliki saham berkaitan minyak dan gas juga,” kata Rakuten Trade dalam nota kajian pasarannya hari ini. 

 

Sepanjang dua minggu lalu, penemuan percubaan vaksin COVID-19 yang berkesan telah mencetuskan lonjakan besar-besaran di pasaran global. 

 

Di Malaysia, para pelabur mula berubah tumpuan pelaburan daripada saham benefisiari COVID-19 seperti kaunter sarung tangan getah ke saham-saham yang diyakini pulih apabila sempadan negara dibuka. 

 

Ini termasuklah syarikat penerbangan dan perjudian seperti Kumpulan AirAsia serta Genting yang menyaksikan peningkatan dalam pembelian saham.

 

Dalam pada itu, penganalisis di firma-firma penyelidik juga mula menyarankan pelabur untuk menumpukan saham yang diyakini pulih kelak berbanding saham benefisiari. 

 

Bagaimanapun, sentimen positif vaksin itu tidak berpanjangan di pasaran global apabila para pelabur lebih bimbang akan kes COVID-19 yang dicatatkan kian meningkat di seluruh dunia terutamanya di negara-negara Eropah. - DagangNews.com