Pelabur institusi kembali jual ekuiti tempatan | DagangNews Skip to main content

Pelabur institusi kembali jual ekuiti tempatan

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Pelabur institusi tempatan kembali menjual ekuiti tempatan setelah 2 minggu lalu muncul pembeli terbesar dalam pasaran, menurut CGS-CIMB.

 

Dalam laporan aliran dana mingguannya, firma itu berkata, mereka menjual sebanyak RM119 juta ekuiti bagi minggu berakhir 23 Julai berbanding membeli RM84 juta minggu sebelumnya.

 

"Kebanyakan saham yang dijual adalah berkaitan sektor teknologi dan produk perindustrian.

 

"Sebaliknya, terdapat 3 saham syarikat yang menjadi tumpuan penjualan ekuiti mereka iaitu CTOS, Petronas Chemical dan Maybank," katanya hari ini.

 

Pada minggu lalu, indeks FBM KLCI menokok 0.1% minggu ke minggu berikutan pengukuhan sektor penjagaan kesihatan mengatasi kerugian dalam sektor kewangan.

 

Jumlah purata dagangan harian juga berkembang 11% minggu ke minggu kepada 5.3 bilion unit manakala nilai purata dagangan harian meningkat 12% minggu ke minggu kepada RM3.2 bilion.

 

Pelabur runcit menguasai keseluruhan nilai dagangan sebanyak 37% diikuti pelabur institusi (29%), hak milik (18%) dan penama (16%).

 

Menurut CGS-CIMB, pelabur runcit tempatan masih muncul pembeli terbesar ekuiti tempatan minggu lalu, dengan pembeliannya meningkat 323% kepada RM152 juta. 

 

"Pelabur asing pula kekal penjual terbersih ekuiti tempatan buat minggu kelima berturut-turut.

 

"Bagaimanapun, jualan bersihnya susut 15% minggu ke minggu kepada RM148 juta berbanding minggu sebelumnya," katanya.

 

Jelas firma itu lagi, saham CTOS, Public Bank dan Inari paling banyak diniagakan sepanjang minggu lalu.

 

"Sebaliknya, saham Top Glove, Kossan dan Supermax pula menjadi tumpuan utama bagi jualan singkat," tambahnya. - DagangNews.com