Pelabur masih berhati-hati terhadap pasaran kewangan | DagangNews Skip to main content

Pelabur masih berhati-hati terhadap pasaran kewangan

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 20 Nov. - Ringgit dibuka tinggi sedikit daripada penutupan semalam pada RM4.0900/0950 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Mata wang itu ditutup rendah semalam pada RM4.0950/1000 selepas kenaikan jangkitan wabak COVID-19 di seluruh dunia mula menimbulkan kebimbangan dalam pasaran. 

 

AmBank Research menjangkakan ringgit akan diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0809 dan RM4.0910 manakala paras rintangan antara RM4.1075 dan RM4.1168.

 

"Semalam ringgit melemah 0.26% selepas menyaksikan peningkatan lima hari berturut-turut. Indeks FBM KLCI juga rugi untuk hari kedua, susut 1.31% kepada 1,583.7 mata, paras terendah seminggu," katanya dalam nota kajian. 

 

Dalam masa sama, katanya, dolar AS mengukuh kali pertama dalam tempoh 5 hari, meningkat 0.02% kepada 92.33, disokong oleh aliran selamat. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, pelabur masih meninjau bagaimana kerajaan dan pembuat dasar melaksanakan perintah sekatan baharu ke atas aktiviti sosial dan perniagaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

 

"Malah, data ekonomi AS yang dikeluarkan juga lemah apabila data pengangguran meningkat di luar jangkaan kepada 742,000 setakat 14 November lalu berbanding 711,000 pada minggu sebelum itu," katanya.   

 

Kedua-dua harga minyak juga susut, dengan Brent turun 0.32% kepada AS$44.20 setong manakala West Texas Intermediate (WTI) jatuh 0.19% kepada AS$41.74 setong. 

 

Katanya, peningkatan jangkitan wabak itu di seluruh dunia mula menimbulkan kebimbangan terhadap prospek permintaan minyak mentah sekali gus membayangi harapan terhadap vaksin COVID-19. 

 

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Group of 20 malam tadi memberi amaran bahawa pemulihan daripada kemeseletan ekonomi tahun ini mungkin berisiko memandangkan lonjakan pandemik itu memaksa sesetengah negara melaksanakan semula sekatan ke atas isi rumah dan syarikat. 

 

Walaupun menyedari mengenai perkembangan vaksin, tetapi IMF menyifatkan ia akan menyebabkan kenaikan harga aset sekali gus memutuskannya dengan ekonomi dan ini menjadi satu ancaman kepada kestabilan kewangan.

 

Malaysia semalam kembali merekodkan empat digit kes COVID-19 dengan 1,290 jangkitan dan 4 kematian direkodkan menjadikan secara kumulatif, kes melepasi paras 50,000 selepas jangkitan pertama melanda negara ini pada 25 Januari lalu. - DagangNews.com