Pelabur perlu lebih berhati-hati memilih penyedia perkhidmatan dalam sektor logistik - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pelabur perlu lebih berhati-hati memilih penyedia perkhidmatan dalam sektor logistik - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 April - RHB Investment mengingatkan pelabur untuk lebih berhati-hati dalam memilih penyedia perkhidmatan yang memiliki strategi berkesan dalam sektor logistik.

 

Firma itu menyukai Tasco Berhad kerana kehadiran globalnya yang membolehkan kumpulan itu berkembang ke dalam perniagaan logistik pihak keempat (4PL), mengendalikan keseluruhan pengurusan rantaian bekalan untuk pelanggan utamanya.

 

Firma itu berkata, dengan memanfaatkan penyelesaian perisian proprietari dan rangkaian induknya, kumpulan itu berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan penyelesaian rantaian bekalannya (kini 2% daripada hasil kumpulan) dan mengekalkan pelanggan.

 

"Memandangkan normalisasi kadar tambang,  pendapatan kumpulan akan ditampan oleh keupayaan mereka mengunci kadar tambah pengangkutan laut dengan pelanggannya selain berunding dengan syarikat perkapalan untuk margin keuntungan yang lebih baik.

 

"Langkah itu juga akan membantu memberikan keterlihatan pendapatan, berbanding era kadar pengangkutan yang dinaikkan, yang kebanyakannya adalah pengaturan jangka pendek.

 

"Model perniagaannya yang terpelbagai dengan baik dengan kekuatan dalam segmen logistik kontrak (CL) dan rantaian sejuk, ditambah pula dengan insentif cukai Penyelesaian Logistik Bersepadu (ILS) harus mengekalkan keuntungan keseluruhannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagaimanapun, sektor itu berdepan dengan beberapa risiko termasuk kemunculan semula varian baharu COVID-19 yang mungkin memberi kesan kepada sektor itu.

 

Firma itu berkata, kelembapan pertumbuhan ekonomi global akan memperlahankan aliran perdagangan.

 

"Pemulihan lebih perlahan daripada jangkaan dalam jumlah penumpang dalam perdagangan dan kadar tambang yang semakin lemah," katanya. - DagangNews.com