Pelabur runcit terus beli ekuiti tempatan, kini cecah RM8.55 bilion | DagangNews Skip to main content

Pelabur runcit terus beli ekuiti tempatan, kini cecah RM8.55 bilion

 

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Pelabur asing terus menjual ekuiti tempatan bagi minggu berakhir 16 Julai berjumlah RM173.93 juta, tetapi lebih rendah berbanding minggu sebelumnya, RM323.98 juta.

 

MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguan berkata, ia menunjukkan aliran keluar bersih bagi tempoh 4 minggu berturut-turut. 

 

"Apabila pasaran dibuka pada Isnin minggu lalu, pelabur asing menjual RM96.6 juta ekuiti tempatan.

 

"Pelabur runcit dan institusi tempatan pula masing-masing membeli ekuiti berjumlah RM59.1 juta dan RM37.5 juta," katanya hari ini. 

 

Laporan itu mendapati, pelabur asing menjual ekuiti setiap hari bagi sepanjang minggu kecuali Khamis dengan pembelian ekuiti sebanyak RM69.6 juta.

 

Aliran keluar paling banyak direkodkan pada Isnin manakala paling rendah pada Selasa, RM7.02 juta.

 

Bagi pelabur runcit pula, mereka menjadi penjual bersih dalam kebanyakan hari pada minggu lalu. 

 

Penjualan ekuiti direkodkan paling banyak pada Rabu berjumlah RM29.49 juta. Sebaliknya, mereka paling banyak membeli ekuiti pada Isnin, sebanyak RM59.1 juta. 

 

"Secara kumulatif, pelabur runcit membeli ekuiti berjumlah RM35.72 juta minggu lalu," katanya. 

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan merekodkan aliran masuk berjumlah RM138.22 juta sepanjang minggu lalu.

 

"Mereka membeli ekuiti hampir setiap hari kecuali Khamis dengan pembelian tertinggi direkodkan pada Rabu berjumlah RM103.49 juta," jelasnya.

 

Menurut MIDF Research, sejak awal tahun ini, pelabur runcit merupakan satu-satunya pembeli bersih ekuiti tempatan berjumlah RM8.55 bilion. 

 

Sebaliknya, pelabur institusi tempatan dan asing menjual bersih ekuiti masing-masing berjumlah RM3.74 bilion dan RM4.81 bilion. - DagangNews.com