Pelaburan digital Juwai IQI bukti kemampuan tinggi pekerja Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pelaburan digital Juwai IQI bukti kemampuan tinggi pekerja Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Mac - Langkah Juwai IQI untuk menubuhkan operasi pusat teknologi di Malaysia membuktikan tahap kemahiran digital dan kemampuan tenaga kerja negara yang tinggi. 

 

Pelaburan itu juga menunjukkan keyakinan jelas dalam kalangan pelabur global terhadap negara ini, menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

 

“Pekerjaan baharu berkaitan digital membabitkan pembangunan aplikasi platform mudah alih, sains data dan pakar media sosial dijangka akan memainkan peranan penting pada masa hadapan.

 

“Langkah Juwai IQI ini selari dengan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang dilancarkan kerajaan pada bulan lalu, bertujuan menarik pelaburan sektor digital sebanyak RM70 bilion menjelang 2025. 

 

“Secara keseluruhan, sebanyak 1,000 pekerjaan baharu dijangka dapat diwujudkan menerusi pelaburan terbaharu syarikat ini manakala kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 500,000 pekerjaan menjelang 2025 dalam sektor sama,” jelas MDEC dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

MDEC memberi sokongan padu kepada syarikat teknologi hartanah global itu yang menubuhkan pasukan data dan teknologi di Kuala Lumpur. 

 

Mengikut perancangan, lokasi yang menjadi pilihan ialah di Millerz Square dan ketika ini kerja-kerja pembinaan telah bermula serta dijangka akan mula beroperasi pada suku pertama tahun depan, jelas MDEC.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, peningkatan keperluan kemahiran digital ketika ini juga merupakan bidang yang diberi perhatian oleh agensi itu. 

 

Surina Shukri
Surina Shukri

 

“Menerusi analisis terbaharu MDEC yang melibatkan pelbagai laman web dan saluran media sosial untuk mencari pekerjaan seperti LinkedIn, Jobstreet, Monster, Indeed dan Jobstore, menunjukkan peningkatan permintaan untuk pekerjaan digital.

 

“Sebanyak 47,000 pekerjaan berkaitan teknologi diiklankan di kesemua portal dinyatakan sehingga Februari 2021,” ujarnya menerusi kenyataan sama.

 

Inisiatif MDEC di bawah teras pekerjaan dan kemahiran digital telah memanfaatkan lebih dua juta rakyat Malaysia sejak 2016 hingga suku ketiga 2020. 

 

Agensi itu telah berusaha untuk menyokong tenaga kerja supaya dapat mengakses kemahiran dan peluang menjana pendapatan melalui program dan inisiatif termasuk Direktori Latihan Kemahiran Digital, Tenaga Kerja Dalam Talian Global (GLOW) dan juga Go-eCommerce.

 

Dalam pada itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI, Kashif Ansari memilih Kuala Lumpur sebagai ibu pejabat untuk penyelidikan dan pengembangan global kerana sokongan padu yang diberikan oleh MDEC. 

 

“Syarikat berasa gembira kerana dapat memainkan peranan kecil dalam membantu Malaysia menjadi hab digital ASEAN. 

 

" Walaupun Juwai IQI turut memiliki pasukan teknologi di Shanghai, China, ibu pejabat di Kuala Lumpur akan memberi peluang kepada syarikat untuk menumpukan kepada salah satu kumpulan bakat teknologi yang lengkap di dunia,” jelasnya. 

 

Berhubung prestasi sektor digital, Malaysia berjaya menarik pelaburan bernilai RM345 bilion hingga kini dan mewujudkan hampir 185,000 peluang pekerjaan. 

 

Pada tahun lepas, pelaburan baharu oleh syarikat teknologi tulen mencatatkan angka RM3.98 bilion. 

 

Sementara itu, pelaburan baharu oleh syarikat perkhidmatan digital berjumlah RM2.01 bilion yang turut mencipta kira-kira 9,000 pekerjaan baharu. 

 

Juwai IQI memilih Kuala Lumpur sebagai pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) global sambil mengekalkan operasi di Shanghai, yang merupakan pangkalan R&D untuk pasaran China.

 

Pengerusi MDEC, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff pula berkata, MDEC memuji langkah Juwai IQI untuk mewujudkan hab teknologi di Malaysia kerana ia akan mengukuhkan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN. 

 

Rais Hussin Mohamed Ariff
Rais Hussin Mohamed Ariff

 

“MDEC sebagai agensi yang diberi mandat untuk memimpin ekonomi digital ke depan akan terus memberi tumpuan untuk menarik dan mengekalkan pelabur sedia ada untuk memastikan kesejahteraan bersama kepada semua rakyat ketika kita berusaha untuk mewujudkan Malaysia 5.0. 

 

“Penekanan MDEC terhadap inisiatif berpaksikan rakyat telah yang memberi pelbagai manfaat. Langkah Juwai IQI telah membawa kita selangkah lebih cepat untuk mencapai matlamat inisiatif MyDigital”, katanya lagi.

 

Kerajaan menerusi MyDigital juga akan memperuntukkan pelaburan sebanyak RM12 bilion hingga RM15 bilion kepada penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan selama lima tahun dengan Google, Microsoft, Amazon dan Telekom Malaysia Berhad (TM) telah diberikan kelulusan bersyarat untuk membangun dan menguruskan pusat data skala hiper dan perkhidmatan awan hibrid negara. 

 

Projek-projek itu dijangka dapat menjadikan Malaysia sebagai pemain e-dagang utama melalui telekomunikasi dan infrastruktur yang lebih baik, murah dan pantas.

 

Kedudukan unik Malaysia telah meletakkannya di tempat ke-2 di ASEAN dan ke- 26 dunia dalam Indeks Daya Saing Digital Dunia (IMD) 2020. 

 

Forum Ekonomi Dunia (WEF) juga telah meletakkan Malaysia pada kedudukan ke - 34 dalam Laporan Kesediaan Rangkaian Dunia 2020. - DagangNews.com