KUALA LUMPUR 24 Okt - Perak berada pada landasan yang tepat untuk mencapai wawasan memakmurkan ekonomi negeri itu apabila memperoleh pelaburan bernilai lebih RM22.3 bilion sehingga Jun tahun ini.
Ia membabitkan 283 projek pembuatan yang mewujudkan lebih 22,000 pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata, berdasarkan prestasi tersebut Perak bakal mengukuhkan kedudukan sebagai hab industri di wilayah utara.
"Perak bersedia untuk mengukuhkan sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia khususnya di wilayah utara dengan hab perindustrian berteknologi tinggi akan datang di Kerian.
"Matlamat tersebut sepertimana diunjurkan kerajaan dalam Belanjawan 2024.
"Berasaskan wawasan pelan pembangunan Perak Sejahtera 2023, kerajaan negeri memfokuskan kepada beberapa sektor, bukan sahaja sektor berteknologi tinggi tetapi juga berdasarkan perkhidmatan seperti Bandar Perindustrian Maritim Lumut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis 'Mida Invest Series - Perak: Unfolding its Business Potentials' di sini.
Jelasnya lagi, Perak juga menyasar untuk menarik lebih ramai pelabur dalam sektor halal yang tidak terhad kepada makanan, tetapi kosmetik dan sektor lain.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam ucapannya berkata, misi promosi pelaburan kerajaan negeri Perak ke China minggu lalu berjaya mencapai matlamat apabila menerima palaburan baharu.
Beliau berkata, beberapa syarikat milik kerajaan negeri menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan strategik masing-masing.
"InvestPerak telah menandatangani MoU dengan Zhejiang Sinopont Technology, syarikat pelaburan China untuk pengeluaran filem enkapsulasi dengan pelaburan sebanyak RM2 bilion.
"Ini melibatkan pembukaan kilang pembuatan baharu Zhejiang di Ipoh iaitu yang pertama di Asia Tenggara.
"MB Incorporated Perak juga menimbang potensi menjalin kerjasama dengan Rare Earth Group Co Ltd, yang berpangkalan di Nanning untuk teknologi terkini dalam mengasingkan unsur nadir bumi dan proses pemulihan atau pemuliharaan tapak perindustrian," katanya.
Kerajaan negeri turut mengukuhkan kerjasama dengan rakan dagang strategik termasuk syarikat automotif gergasi China, Geely untuk memastikan kejayaan pelaburan Lembah Teknologi Tinggi Automotif bernilai RM32 bilion di Tanjung Malim.
Sehubungan itu kata Saarani, kerajaan negeri komited untuk mempertimbangkan insentif yang sesuai atau memudahkan pelabur sekali gus menggalakkan
pelaburan luar ke Perak. - DagangNews.com