Oleh AMIRUL AFIQ MASTOR
[email protected]
MELAKA 4 Okt – Kerajaan negeri Melaka menandatangani perjanjian usaha sama pembangunan semula terminal pengangkutan bersepadu di bandar Peringgit di sini dengan kos pembinaan RM3.5 bilion.
Pembangunan projek di tapak terminal sedia ada itu dimeterai antara anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka iaitu Melaka Sentral dengan syarikat pelabur dan pemaju, Goodyield Development Sdn. Bhd. (GDSB), disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Sulaiman berkata, Melaka Sentral yang akan baharu itu bakal menjadi pemangkin agenda pembangunan ekonomi negeri dan hab pengangkutan termoden di negara ini.
"Pembangunan itu melibatkan keluasan kasar terminal sebanyak 743,775 kaki persegi dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM372 juta yang akan diserahkan secara 'in kind' kepada MSSB dan boleh menempatkan 340 ruang niaga untuk disewakan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Usaha sama Cadangan Projek Pembangunan Semula Melaka Sentral Antara MSSB dengan GDSB, di Kompleks Seri Negeri.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ts. Kamel Mohamed; Pengerusi Lembaga Pengarah MSSB, Datuk Wira Hasnoor Sidang Husin; Pengurus Besar MSSB, Abu Bakar Jani dan Ahli Lembaga Pengarah GDSB, Datuk Muhammad Hafidz Nuruddin; Pengarah Urusan GDSB, Zahrin Haris dan Ketua Pegawai Eksekutif GDSB, Wellen Remy Rizal.
Projek di atas tapak seluas 18 ekar itu bakal menempatkan lima bangunan terminal utama, pusat beli belah, lot komersial di setiap sektor, masjid, hotel, hab monorel, pusat penganjuran acara, pejabat, klinik, pawagam dan pusat hiburan.
Sulaiman berkata, perjanjian pembinaan terminal ikonik itu akan dilaksanakan melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).
"GDSB sedia menawarkan penyelesaian hutang pinjaman bank MSSB daripada bahagian untung tetap kepada MSSB untuk setiap sektor pembinaan.
"Secara keseluruhan jumlah manfaat kewangan diterima MSSB apabila siap projek pembangunan semula Melaka Sentral ini dianggarkan RM466 juta,'' ujar beliau.
Tambahnya, jumlah itu tidak termasuk pendapatan tahunan berbentuk pendapatan berulang dari perkongsian hasil sewaan dan pengurusan petak letak kereta yang dianggarkan berjumlah RM1.5 juta hingga RM2 juta setahun,'' katanya.
Sulaiman berkata, pembangunan Melaka Sentral akan dilaksanakan melalui lima sektor pembinaan secara berperingkat-peringkat yang dijangka bermula pada Jun 2022 dan disiap sepenuhnya pada tahun 2029.
"Bagi sektor pertama, projek ini merangkumi pembangunan bangunan terminal utama untuk ketibaan dan pelepasan, blok kondominium, hotel, 18 buah pawagam dan lot komersial yang dijangka siap pada 2024.
"Sektor kedua melibatkan terminal ekspres wilayah selatan, satu blok kondominium, zon hiburan dan ruang komersial yang akan disiapkan pada Jun 2025.
"Sektor ketiga pula adalah terminal ekspres wilayah tengah, dua blok kondominium dan lot komersial yang siap pada Disember 2026.
"Sektor keempat terminal ekspres wilayah utara, satu blok kondominium dan ruang komersial yang akan siap pada 2028 dan terakhir terminal ekspres bagi wilayah timur, sebuah masjid, satu blok kondominium, hab monorel, dewan bankuet dan ruang komersial yang dijangka siap pada 2029,'' katanya.
Pengerusi Lembaga Pengarah Melaka Sentral Sdn. Bhd. (MSSB) Datuk Wira Hasnoor Sidang Husin berkata, pembinaan zon ekonomi baharu itu diharap akan memberi 'limpahan rezeki' kepada rakyat negeri itu khususnya.
Katanya, selain menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan, projek itu juga akan dipastikan memberi keutamaan dan manfaat kepada syarikat-syarikat kontraktor tempatan dalam kontrak pembinaannya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GDSB, Wellen Remy Rizal ketika menjelaskan pembinaan projek itu berkata, projek Melaka Sentral katanya dibangunkan bertema '5 Kelopak Bunga Kesidang' yang merupakan bunga rasmi Kerajaan Negeri Melaka. – DagangNews.com