Pelaburan tergugat selagi kemelut politik tidak diselesaikan - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pelaburan tergugat selagi kemelut politik tidak diselesaikan - Penganalisis

 Pelaburan tergugat selagi kemelut politik tidak diselesaikan. Gambar oleh Ishan - Unsplash
Gambar oleh Ihsan - Unsplash

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Fokus Malaysia dalam usaha melawan dan menghentikan penularan pandemik COVID-19 mula terganggu dengan hiruk-pikuk politik semasa.

 

Pelbagai spekulasi dan tohmahan dilempar terhadap pemerintah dengan dakwaan kegagalan membawa negara keluar daripada ancaman wabak.

 

Perkara tersebut turut dijadikan alasan dan rungutan untuk memaksa kerajaan mengundurkan diri bagi menggantikan tapuk pemerintahan baharu.

 

Situasi yang terjadi ini bukan sahaja mengganggu dasar dan corak pentadbiran semasa, malah turut menimbulkan rasa muak dalam kalangan rakyat.

 

Apa yang rakyat mahukan adalah kerjasama semua pihak tanpa mengenal parti dan warna kulit, meluruskan misi untuk menurunkan kadar jangkitan dan kematian akibat COVID-19.

 

Namun, kesempatan yang diambil adalah sebaliknya, menjadikan situasi hari ini sebagai medan perebutan kuasa, menunding jari dan mencari salah siapa.

 

Perlu diingat, kealpaan pertikaman lidah yang disebabkan oleh ketidakstabilan politik ini turut menggugat kepercayaan para pelabur khususnya pelabur asing.

 

Aimi Zulhazmi Abdul Rashid
Aimi Zulhazmi Abdul Rashid

 

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, situasi berkenaan jelas sekali memberi reaksi langsung oleh pasaran saham terhadap Bursa Malaysia.

 

Jelasnya, pasaran saham negara dijangka akan terus dipantau oleh para pelabur terutamanya pelabur asing sehinggalah percaturan politik yang berlaku sekarang diselesaikan secepat mungkin.

 

"Pelabur-pelabur asing akan terus memantau situasi di Malaysia secara teliti, kerana Malaysia adalah antara negara yang penting dalam rantaian nilai ekonomi global.

 

"Selain dari itu, ekonomi domestik Malaysia masih lagi dikekang oleh kes jangkitan COVID-19 yang masih diaras tertinggi setakat ini iaitu 20,000 kes sehari serta kes kematian tinggi yang turut dicatatkan kelmarin yang melebihi 200 orang. 

 

"Minggu ini adalah waktu yang kritikal kepada krisis politik, ekonomi dan kesihatan negara. Arah tuju ketiga-tiganya saling berkait dan memerlukan kestabilan politik untuk menangani dua krisis yang lain," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Memberi penjelasan lanjut berkaitan reaksi langsung itu, beliau berkata, perkara berkenaan boleh dilihat apabila penyertaan pelabur asing di Bursa Malaysia menunjukkan penurunan.

 

Sebagai contohnya pada 2 Ogos 2021, pegangan pelabur asing berkurang sebanyak RM258 juta dalam satu hari.

 

Katanya, tarikh itu adalah kesan daripada pergolakan politik yang berlaku selepas pembukaan sidang Parlimen pada minggu sebelumnya termasuklah pergolakan politik yang berlarutan dari Khamis hinggalah ke hari minggu.

 

Dalam pada itu, beliau turut mengulas berkaitan perbelanjaan RM25 bilion oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada lebih 10 juta rakyat sejak Mac 2020.

 

Beliau memberitahu, sememangnya jumlah tunai secara langsung sebanyak RM25 bilion itu adalah jauh lebih banyak daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan dicatatkan dalam sejarah negara. 

 

Selain itu, lapan pakej bantuan yang berjumlah RM530 bilion mencerminkan keprihatinan kerajaan akan situasi semasa terhadap faktor kesihatan dan ekonomi yang dialami rakyat termasuklah perniagaan IKS yang terjejas teruk. 

 

"Kemelut COVID-19 yang terus berpanjangan pastinya memerlukam kerajaan meneruskan bantuan kepada rakyat semampu kewangan negara. Hutang kerajaan terus berlipat ganda dan akan melebihi 60% dari KDNK negara dengan perpanjangan COVID-19 ini, malah defisit yang ditanggung kerajaan akan meningkat pada sekitar 6.5 ke 7% dari belanjawan negara. 

 

"Malah penarafan negara oleh FITCH misalnya telah diturunkan dari A- ke BBB+, menunjukkan situasi semasa ekonomi negara yang kritikal. Bagaimanapun kerajaan terus komited dan terus memberikan bantuan yang berterusan kepada rakyat sesuai dengan keprihatinannya," tambahnya lagi.

 

Ditanya berkaitan kepastian bantuan ekonomi rakyat sekiranya berlaku perubahan kerajaan, beliau menjelaskan bahawa perkara tersebut bukanlah sesuatu yang mudah disaat negara dan dunia sedang berperang dengan virus COVID-19.

 

Katanya, pelbagai faktor juga turut berubah seperti timbulnya varian baru yang lebih berbahaya dan mudah berjangkit.

 

"Kos kewangan juga meningkat dengan banyak dan berterusan, tambahan lagi pendapatan kerajaan turut berkurangan dengan banyak syarikat yang muflis, operasi perniagaan dan kilang tidak boleh ditahap optimal dan sebagainya turut menjejaskan produktiviti.

 

"Sekiranya benar-benar berlaku perubahan, kerajaan baharu mestilah bertanggungjawab dan mestilah terus mencari jalan bagi mengeluarkan negara dari krisis ekonomi dan kesihatan ini. 

 

"Kestabilan politik mestilah dicapai tanpa dapat diganggu gugat, supaya kepentingan rakyat adalah prioriti utama sesiapa sahaja yang memerintah," katanya lagi.

 

 Baharom Abdul Hamid
 Baharom Abdul Hamid

 

Perbincangan isu tersebut turut mendapat perhatian dan maklum balas Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid.

 

Menurutnya, ketidakstabilan politik memberi gambaran kecelaruan polisi dan hala tuju, khasnya pelabur luar yang inginkan kestabilan, ketenangan, dan polisi dalam jangka masa panjang yang boleh memberi perlindungan kepada pelaburan mereka. 

 

"Mengenai rakyat pula, kecelaruan tersebut menyebabkan mereka berhati-hati membuat perbelanjaan dan sedikit sebanyak menghalang dari ekonomi negara berkembang.

 

"Kestabilan politik amat penting, khasnya koordinasi dari Menteri dan pemimpin dari parti-parti politik yang berbeza, yang nampaknya seolah lebih cenderung untuk menggagalkan usaha dan mengambil kesempatan menuding jari punca kegagalan ini," jelas beliau.

 

Berkaitan agihan tunai bernilai RM25 bilion pula, beliau berpendapat bahawa agihan tersebut tidak dapat mencapai objektif yang diharapkan akibat kekangan yang berlarutan dari penularan COVID-19 dan kes baharu yang semakin membimbangkan.

 

Katanya, agihan tunai tersebut dilihat tidak mencukupi dan ramai penerima yang sudah kehausan dan kehabisan bantuan berkenaan.

 

"Sempena bulan kemerdekaan, semoga dapat bersama, tanpa mengira parti politik untuk menyelesaikan kemelut politik ini, dan jika dapat diselesaikan, memudahkan kita melakukan koordinasi pemulihan dengan lebih baik," tambah beliau. - DagangNews.com