Pelaksanaan pelbagai projek prasarana di seluruh negara, CIMB Group diyakini catat pertumbuhan pinjaman tahun ini | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan pelbagai projek prasarana di seluruh negara, CIMB Group diyakini catat pertumbuhan pinjaman tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - RHB Investment optimis terhadap prospek pertumbuhan pinjaman CIMB Group Holdings Berhad tahun ini terutama dalam segmen bukan runcit didorong pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur baharu.

 

Katanya, bank itu bagaimanapun akan kekal berdisiplin pada penetapan harga dan bersedia untuk tidak melibatkan diri sekiranya margin keuntungan terlalu kecil.

 

Pada masa sama, firma penyelidikan itu berkata, momentum pertumbuhan bank itu pada suku keempat 2023 dijangka positif disokong segmen pengguna di Malaysia dan segmen bukan runcit di Indonesia dan Singapura.

 

"Keputusan kewangan suku keempat CIMB yang akan keluar pada 29 Februari ini dijangka menyaksikan keuntungan bersih yang lebih rendah dari suku tahun ke suku tahun tetapi pertumbuhan dari tahun ke tahun diunjur positif.

 

"Bagaimanapun, pendapatan tahun penuh kumpulan itu diunjur memenuhi anggaran didorong hasil kukuh bagi tempoh sembilan bulan 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, CIMB menyaksikan kempen deposit runcit dilaksanakan pada September dan Oktober 2023, diikuti oleh kempen bukan runcit pada November dan Disember 2023.

 

Katanya, margin faedah bersih (NIM) berkemungkinan berada di bawah tekanan.

 

"Keadaan ini dipercayai adalah sebahagian daripada persaingan bermusim pada akhir tahun dan bukannya kemerosotan dalam saingan deposit asas," katanya.

 

Pada masa sama, RHB Investment berkata, akan ada sedikit kos yang ditanggung bank itu untuk menyelaraskan perniagaan perbankan borongnya pada suku keempat tetapi kesannya tidak terlalu ketara.

 

Katanya, langkah penyelarasan itu dijangka membawa kepada aktiviti jualan yang lebih baik, dengan tumpuan jangka pendek utama pada pengumpulan deposit.

 

Firma penyelidikan itu berkata, secara keseluruhannya, tumpuan bank pada tahun ini adalah untuk menguruskan kos pembiayaannya.

 

"Ia melihat ruang untuk penilaian semula deposit dan kami melihat ia akan memberi sokongan kepada pertumbuhan NIM," katanya. - DagangNews.com