Pelaksanaan projek LRT, HSR KL-Singapura dijangka tingkatkan permintaan hartanah di Iskandar Malaysia, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan projek LRT, HSR KL-Singapura dijangka tingkatkan permintaan hartanah di Iskandar Malaysia, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jan - Pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-Singapura) dijangka meningkatkan permintaan terhadap hartanah kediaman, komersial dan perindustrian di Iskandar Malaysia pada masa hadapan.

 

RHB Investment berkata, projek itu juga dilihat akan membuatkan harga tanah di kawasan berhampiran meningkat.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura akan siap pada penghujung 2026, mereka menjangkakan cadangan pembangunan LRT akan memainkan peranan penting bagi melengkapkan sambungan kereta api antara bandar, dan mencatatkan peningkatan trafik penumpang dari Singapura.

 

"Kami mengandaikan apabila projek LRT dan HSR dilaksanakan, Johor Selatan akan menjadi bandar utama yang mampu menyaingi Lembah Klang bagi jangka masa panjang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sebelum ini, Kerajaan Johor akan menyerahkan menyerahkan kertas cadangan pembinaan LRT di bandar raya Johor Bahru kepada Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kajian pelaksanaan pembinaan LRT di Johor Bahru juga sedang dilaksanakan beberapa agensi termasuk Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor.

 

RHB Investment berkata, dilaporkan bahawa cadangan tiga laluan LRT, dan stesen terminal masing-masing mungkin terletak di Ikea Tebrau, kawasan Iskandar Puteri (sama ada Legoland atau Forest City) dan Senai.

 

Selain itu, katanya, HSR mungkin mempunyai stesen sama ada di Iskandar Puteri atau Forest City.

 

"Tanpa mengira lokasi yang tepat, kami berpendapat kawasan Tuas Link akan melihat lebih banyak peluang pertumbuhan memandangkan penumpuan sistem pengangkutan baharu, sedangkan wilayah tengah Johor sudah tepu.

 

"Kami berpendapat bahawa UEM Sunrise Berhad, Sunway Berhad serta Eco World Development Group Berhad dan IOI Properties Group Berhad akan menjadi penerima manfaat utama daripada pembangunan di kawasan Link Kedua dan Kulai," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, projek HSR KL-Singapura juga dijangka meningkatkan lagi sentimen terhadap sektor hartanah secara keseluruhan kerana ia akan merangsang permintaan untuk hartanah di Iskandar Malaysia dan pusat bandar KL, serta kawasan sekitar stesen HSR di sepanjang jajaran.

 

Katanya, HSR KL-Singapura akan menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan trafik ke selatan, bukan sahaja daripada populasi antara Malaysia dan Singapura, tetapi juga pelancong antarabangsa kerana potensi sambungan antara KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu dengan UEM Sunrise, Sunway dan IOI Properties menjadi pilihan utama," katanya. - DagangNews.com