Pelan Pemulihan Negara : Peralihan fasa ketiga jika kes COVID-19 bawah 2,000 | DagangNews Skip to main content

Pelan Pemulihan Negara : Peralihan fasa ketiga jika kes COVID-19 bawah 2,000

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - Kerajaan akan mempertimbangkan peralihan fasa ketiga di bawah Pelan Pemulihan Negara sekiranya purata kes harian COVID-19 berjaya menurun ke paras bawah angka 2,000.

 

Turut diambil kira sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) ke paras mencukupi dan 40% populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin, menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Kata beliau lagi, nilai ambang ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir bulan Ogos 2021.

 

“Fasa ketiga pula melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19 yang masih ditutup. 

 

“Semasa fasa ketiga ini, semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan COVID-19 atau melibatkan keramaian. 

 

“Sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80% seperti fasa kedua; dan aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat.

 

“Untuk fasa tiga, semua aktiviti pembuatan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan had kapasiti,” ujar Muhyiddin ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara secara maya hari ini. 

 

Baca : PM umum Pelan Pemulihan Negara merangkumi 4 fasa PKP

 

Senarai negatif fasa tiga merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi kerana melibatkan keramaian seperti penganjuran konvensyen dan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan seperti pub, spa dan salon kecantikan, jelas beliau lanjut. 

 

Namun, kata Muhyiddin, kelonggaran kepada had kapasiti akan dipertimbangkan untuk membolehkan syarikat beroperasi sepenuhnya setelah pekerja divaksinasi. - DagangNews.com