Pelancongan domestik diharap kembali rancak menjelang November - MOTAC | DagangNews Skip to main content

Pelancongan domestik diharap kembali rancak menjelang November - MOTAC

Pelancongan domestik

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Aktiviti pelancongan domestik diharap kembali rancak semula menjelang November nanti.

 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, harapan tersebut diletakkan selepas kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan aktiviti pergerakan rentas negeri yang dijangka dapat dibuka pada November dalam Fasa Keempat, Pelan Pemulihan Negara.

 

Beliau yang menyambut baik pelan berkenaan memberitahu, perkara tersebut bagaimanapun tertakluk kepada bilangan kes COVID-19, sistem kesihatan awam berada di tahap selamat dan program vaksinasi mencapai tahap imuniti kelompok.

 

MOTAC menyokong penuh usaha kerajaan dalam melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula 26 Februari lalu untuk mencapai 80% populasi divaksin.

 

Nancy Shukri.
Nancy Shukri.

 

Sehubungan itu, MOTAC akan memberi keutamaan kepada sub-sektor yang sedang beroperasi dalam tempoh PKP 3.0 yang dikategorikan sebagai tourism frontliners menerusi Program Vaksinasi dan Sukarelawan MOTAC.

 

"Bagi menjayakan program ini, MOTAC telah mencadangkan kepada MOSTI agar pemberian suntikan vaksin dilaksanakn secara berfasa bermula dengan 30,530 tenaga kerja yang melibatkan beberapa sub-sektor perkhidmatan pelancongan yang dibenarkan beroperasi.

 

"Perkara ini penting kerana tenaga kerja dalam sektor pelancongan perlu bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia untuk mempunyai daya ketahanan diri melawan virus COVID-19," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pihaknya juga mengambil inisiatif untuk menawarkan mana-mana fasiliti atau aset yang bersesuaian di bawah MOTAC untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekiranya diperlukan oleh MOSTI.

 

Hingga kini, beberapa lokasi telah dikenalpasti seperti Kompleks Kraf, Kompleks JKKN dan Hotel Seri Malaysia yang berada di seluruh negara. - DagangNews.com