Pelbagai berita positif dijangka pacu pemulihan pendapatan Ranhill, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelbagai berita positif dijangka pacu pemulihan pendapatan Ranhill, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 April - Ranhill Utilities Berhad berjaya meraih pelbagai berita positif sejak awal tahun ini dan ia akan menjadi pemangkin positif yang dijangka memacu pemulihan ketara dalam pendapatan kumpulan.

 

MIDF Research berkata, antara berita positif itu termasuk pelaksanaan kenaikan tarif air yang telah sekian lama tertunggak sebanyak 6% hingga 11% untuk sektor bukan domestik.

 

Selain itu, kumpulan itu juga meraih projek  loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti 100MW di Sabah dan rangsangan tunai daripada anugerah geran  air tidak terhasil (NRW) sebanyak RM142 juta.

 

"Pemberian dividen tunai sebanyak 2 sen sesaham baru-baru ini juga memberi khabaran positif (jumlah dividen FY22: 2.5sen/saham, hasil 4.3%)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Ranhill Utilities raih kontrak reka bentuk kejuruteraan bernilai RM210 juta daripada Servizi Energia Italia

 

Firma itu berkata, perkembangan terbaharu itu adalah positif dan ia membantu mengukuhkan prospek pendapatan bahagian perkhidmatan dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

Firma itu menyukai kumpulan itu kerana potensi perkembangan pendapatannya menerusi pengembangan ke dalam bekalan air sumber ke paip Indonesia (kapasiti 605MLD) 

 

Katanya, projek LSS4 yang dijangka mencapai COD (tarikh operasi komersial) menjelang Disember 2023, penyempurnaan penaiktarafan grid Sabah WestEast yang akan memacu penghantaran lebih tinggi dari RP1/RP2 ke Pantai Timur Sabah.

 

"Potensi kenaikan tarif air untuk sektor domestik dan potensi penyertaan dalam Program Kuasa Hijau Korporat," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 70 sen sesaham. - DagangNews.com