Peluang siswazah buru pekerjaan di Karnival Kerjaya sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia | DagangNews Skip to main content

Peluang siswazah buru pekerjaan di Karnival Kerjaya sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Dis - Karnival Kerjaya yang menjadi antara tarikan di Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) merupakan perkara yang dinanti-nantikan kepada para pencari kerja dan siswazah yang berdepan kesukaran sepanjang pandemik COVID-19 ini.

 

Siswazah Universiti Tenaga Nasional Juliana Johari, 24, mengakui bahawa itu merupakan kali pertama dia hadir secara fizikal ke karnival seumpama itu dan berpeluang menjalani temu duga dengan sebuah firma perakaunan. 

 

Dia yang sudah lebih setahun tamat pengajian berharap berpeluang mendapatkan pekerjaan menerusi karnival yang melibatkan lebih 50 majikan daripada pelbagai bidang pekerjaan itu.

 

"Sukar nak cari pekerjaan terutama yang sesuai dengan kelulusan sepanjang COVID-19, jadi saya akan mengambil apa sahaja peluang yang hadir," katanya.

 

Seorang lagi siswazah, Nurain Syakira Muzahar, 23, mengakui sudah mendapat tawaran sebagai perantis daripada sebuah syarikat selepas menjalani temu duga di karnival itu.

 

Beliau berkata, peluang karnival kerjaya seperti itu tidak sewajarnya dilepaskan terutamanya pada musim COVID-19 seperti ini.

 

keje
Nurain Syakira Muzahar

 

"Saya baru sahaja menamatkan pengajian, jadi peluang seperti ini memang tidak seharusnya dilepaskan oleh mereka yang sedang mencari pekerjaan.

 

"Di sini sahaja saya sudah menjalani tiga sesi temu duga bersama Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), AEON dan Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad). Di sini juga saya menerima tawaran pekerjaan, sebagai perantis," katanya.

 

 

keje

Sementara itu Pengurus Kawasan Restoran Seoul Garden Jeorje Tan, 50, berkata penganjuran karnival ini bertepatan dengan situasi syarikat yang memerlukan lebih ramai pekerja untuk menampung kekosongan di cawangan beberapa negeri. 

 

"Pada ketika ini jualan kami meningkat tapi mengalami masalah kekurangan pekerja, jadi ingin menggunakan platform ini untuk mengambil seramai mungkin pekerja baharu," katanya. 

 

keje

 

Program 100 Hari AKM anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri itu, menampilkan galeri pencapaian kementerian, program bantuan, pameran kementerian dan agensi, persembahan kebudayaan, serta pameran dan jualan usahawan. - DagangNews.com