Pelupusan tanah bantu SP Setia jana pendapatan, kurangkan kadar penggearan | DagangNews Skip to main content

Pelupusan tanah bantu SP Setia jana pendapatan, kurangkan kadar penggearan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jun - Langkah pelupusan tanah di Tebrau, Johor merupakan strategi SP Setia Bhd bagi menjana pendapatan daripada bank tanahnya dan mengurangkan kadar penggearan kumpulan.

 

MIDF Research berkata, pelupusan tanah terkini menyaksikan kadar penggearan kumpulan itu menurun kepada 0.45x berbanding 0.49x pada 1QFY24.

 

Katanya, kumpulan itu kekal aktif untuk menghasilkan wang daripada tanah miliknya dan dijangka melupuskan satu lagi tanah di negeri itu.

 

"Pada Mac lalu, kumpulan itu sudah memeterai perjanjian jual beli dengan Maxim Pelangi Sdn Bhd bagi melupuskan 2.36 hektar tanah di Johor untuk pertimbangan pelupusan RM167 juta," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: SP Setia lengkapkan pelupusan tanah 388.3 hektar berharga RM564 juta di Tebrau kepada Senibong Island

 

Firma penyelidikan itu berpandangan positif terhadap kejayaan kumpulan itu mengewangkan bank tanah seluas 388 hektar di Johor. 

 

Katanya, sebelum ini kumpulan itu cuba melupuskan tanah kepada Scientex Bhd pada 2021 dan 2023 tetapi tidak berjaya kerana ketiadaankelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU). 

 

"Bagaimanapun, pelupusan kepada Senibong Island Sdn Bhd baru-baru ini pada harga RM564 juta adalah lebih tinggi daripada tawaran sebelumnya, menunjukkan hasil yang menggalakkan untuk kumpulan itu," katanya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.68 sesaham.

 

Selain itu, katanya, potensi penyenaraian hartanah pelaburannya di bawah Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) akan membuka kunci nilai hartanah pelaburannya pada masa akan datang.- DagangNews.com